Kejohanan bina badan ‘separuh bogel’ di Kedah jadi bualan

Kejohanan bina badan ‘separuh bogel’ di Kedah jadi bualan. Jika sebelum ini, Kedah Fashion Week menjadi bualan hangat susulan tular gambar tetamunya memakai pakaian separuh terlanjang, kini pertandingan mencari Mr Malaysia 2022 di Kedah pula menjadi sorotan netizen.
Demikian selepas mendapati majlis Kejohanan Bina Badan peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) turut disertai oleh peserta wanita.
Menurut Setiausaha Eksekutif persekutuan tersebut, Mohd Riduan Anan berkata, sebanyak 17 kategori yang dipertandingkan pada edisi Mr Malaysia kali ini turut mempertandingkan kategori wanita.
“Penganjuran Mr Malaysia adalah peluang kita untuk mencari atlet berbakat yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk di Sukan SEA Kemboja tahun depan yang sekali lagi menawarkan acara bina badan.
“Atlet daripada semua 14 negeri mengambil bahagian dengan negeri seperti Sarawak, Kuala Lumpur serta Kedah selaku tuan rumah boleh dikatakan menyertai hampir semua kategori dipertandingkan.”
Bagaimanapun, pertandingan tersebut menjadi bahan tawa orang ramai selain mempersoalkan kebenaran pihak atasan membenarkan acara sedemikian, terutamanya apabila melibatkan kaum wanita.