Kejam !!! Bayi bertali pusat ditinggal dalam bakul pakaian kotor

Kejam !!! Bayi bertali pusat ditinggal dalam bakul pakaian kotor

Kejam !!! Bayi bertali pusat ditinggal dalam bakul pakaian kotor. Seorang pekerja am menemui bayi perempuan masih bertali pusat yang ditinggalkan dalam bakul pakaian kotor berhampiran sebuah restoran di Taman Mutiara, Batu Berendam, Melaka, hari ini.

Bayi tersebut ditemui kira-kira jam 7 pagi ketika pekerja wanita berusia 51 tahun itu mahu memulakan tugasnya di lokasi berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima aduan orang awam berhubung kejadian pada 7.15 pagi.

“Wanita terbabit sedang mengutip tin di kawasan berhampiran sebelum terdengar tangisan bayi.

“Dia kemudian memeriksa dan menemui bayi masih hidup dalam bakul pakaian berwarna krim yang diletakkan di tepi tembok batu di hadapan restoran di situ,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Raiz berkata, wanita terbabit kemudian pergi ke sebuah klinik berdekatan bagi mendapatkan bantuan untuk menghubungi pihak polis dan ambulans.

Katanya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan mengesahkan kejadian sebelum menghubungi pihak hospital untuk membawa bayi berkenaan mendapatkan rawatan lanjut.

“Terdapat tali pusat, uri dan kesan darah pada badan bayi terbabit,” katanya sekali gus memberitahu bahawa bayi itu kini dirawat di Hospital Melaka.

Raiz berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi atau tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.