Kantoi seleweng diesel bersubsidi, 8 ditahan

Kantoi seleweng diesel bersubsidi, 8 ditahan

Polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita selepas disyaki menjalankan aktiviti penyalahgunaan diesel bersubsidi di kawasan perindustrian Taman Lagenda Putra di sini, petang semalam.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, turut dirampas bersama mereka adalah 72,800 liter minyak diesel bersubsidi dianggar bernilai RM174,720.

Kantoi seleweng diesel bersubsidi, 8 ditahan

Kawasan dimana serbuan aktiviti penyalahgunaan diesel bersubsidi.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya bertindak menyerbu lokasi berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima.

“Suspek ini dipercayai menjalankan aktiviti penyalahgunaan barangan kawalan bersubsidi iaitu diesel.

“Dalam serbuan, warga tempatan berusia antara 28 hingga 52 tahun ditahan dan kita merampas item yang digunakan dalam aktiviti penyalahgunaan barangan kawalan bersubsidi ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah tampil menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai atau menghubungi bilik gerakan IPD di talian 07-6637222.