Kalau ikut harga siling baharu ‘makan tulanglah jawabnya’, keluh peniaga ayam

Kalau ikut harga siling baharu ‘makan tulanglah jawabnya’, keluh peniaga ayam

Kalau ikut harga siling baharu ‘makan tulanglah jawabnya’, keluh peniaga ayam.

Peniaga ayam mengeluh harga siling baharu ayam mengurangkan margin untung mereka, di sebalik penurunan harga burung itu bagi pelanggan.

Pembekal menjual ayam kepada peniaga pada harga RM8.60 sekilo seperti yang ditetapkan kerajaan, manakala harga paling tinggi yang boleh dijual kepada pelanggan pula adalah RM9.40, mengikut harga siling terkini.

“Boleh untung tapi tak banyak,” kata Sham Zainuddin, 36, yang meniaga ayam sejak 10 tahun lalu di pasar Datuk Keramat.

Seorang penjual memotong ayam di pasar Datuk Keramat di ibu negara.

Beliau memberitahu FMT bahawa beberapa peniaga rasa payah terhadap harga siling itu, kerana masing-masing membeli ayam daripada pembekal yang berbeza pada harga yang tidak sama.

“Harga pun bergantung kepada berapa banyak ayam yang dibeli, jadi mungkin sekali peniaga kecil yang hanya beli 20 atau 30 ekor kena bayar lebih, selepas mengambil kira kos penghantaran dan pembungkusan.”

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee pada Rabu mengumumkan harga siling RM9.40 bagi sekilo ayam mulai Julai.

Seorang lagi peniaga, Yap, 37, mendakwa ada pembekal tidak ikut kadar itu. Katanya, dia membeli ayam pada harga RM9.20 sekilo.

Beliau berkata “tidak munasabah” untuk ikut harga siling itu, kerana keuntungan peniaga jadi tidak seberapa.

“Apa yang kerajaan cakap tidak sama dengan apa yang sebenarnya berlaku di bawah. Bukan kerajaan yang bekal ayam jadi bolehlah ia tetapkan sebarang harga. Sebenarnya, mereka hanya mengurangkan keuntungan semua orang,” kata Yap, yang berniaga di pasar Kepong Baru.

Wong, yang sudah lebih tiga dekad menjual ayam, memberitahu dia kini terpaksa menjual ayam kampung kerana ayam daging tidak lagi menguntungkan.

“Kalau kerajaan minta kami jual ayam pada harga RM9.40, tetapi saya beli ayam pada harga RM9 atau RM10, macam mana nak untung? Mustahil,” katanya.

Beliau menambah harga yang ladang tawarkan kepada peniaga dan kadar yang ditetapkan kerajaan berbeza sama sekali, tambahnya.

Harun Matt, 49, memberitahu peniaga hanya “untung kecil”, dan berharap keadaan akan berubah. “Kami diberitahu harga akan dikurangkan kerana kerajaan akan mengawal selia harga di pihak pembekal.”