Kaji semula SOP hanya dua orang dalam satu kereta – MP

Kaji semula SOP hanya dua orang dalam satu kereta – MP

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh meminta kerajaan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan hanya dua penumpang dalam sebuah kereta.

Kata Yeoh, ahli keluarga seharusnya dibenarkan menaiki kenderaan secara bersama-sama, malah SOP itu akan menyebabkan kesukaran bagi ibu bapa tunggal meninggalkan anak-anak mereka di rumah.

“Saya minta @MKNJPM mengkaji semula SOP yang hanya membenarkan dua orang per kereta. Ahli keluarga seharusnya dibenarkan bersama untuk berada di dalam kereta. Tolong pertimbangkan. @IsmailSabri60,” katanya di Twitter.

“Ramai ibu bapa tunggal tak boleh meninggalkan anak-anak sendirian di rumah,” katanya dalam ciapan sebelum itu dalam bahasa Inggeris

Berdasarkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), hanya dua orang dari setiap isi rumah dibenarkan keluar bagi mendapatkan bekalan keperluan atau makan di restoran.

Mana-mana keluarga yang melanggar peraturan berkenaan boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000.

Ini termasuk isi rumah yang mematuhi peraturan dua individu dalam satu kenderaan, tetapi melakukan perjalanan dengan menaiki banyak kenderaan.

“Hanya dua orang sahaja yang dibenarkan keluar (termasuk dalam/ atas kenderaan) sebagai wakil daripada satu isi rumah bagi tujuan membeli atau mendapatkan bekalan makanan (termasuk makan di restoran/kedai makan/ dine in), keperluan asas dan lain-lain keperluan,” menurut SOP itu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Abd Rahim Jaafar berkata, MKN menetapkan hanya dua orang dari setiap isi rumah yang dibenarkan keluar dari rumah.

Katanya seperti dipetik Sin Chew Daily, terdapat keluarga yang cuba meninggalkan rumah secara berkumpulan dan memberi pelbagai alasan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun Ketua Polis Johor, Ayob Khan dipetik Nanyang Siang Pau berkata kelonggaran boleh diberikan, bergantung keadaan tertentu, seperti kes ibu bapa bekerja yang harus membawa anak-anak mereka kepada pengasuh.

Menyifatkan SOP itu bukanlah sesuatu yang rigid, Ayob memberikan contoh sekiranya kereta besar dan penumpang di dalamnya dapat melakukan penjarakan fizikal, maka empat orang dibenarkan di dalam satu kenderaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pula berkata mereka yang mahu melakukan perjalanan dengan lebih daripada dua orang bagi setiap kenderaan mesti mendapatkan kebenaran daripada polis.

Sumber berita : https://www.malaysiakini.com/news/550636