Kaji semula hubungan UMNO-Pas

Kaji semula hubungan UMNO-Pas

Hubungan UMNO dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) diminta dikaji semula selepas kerjasama antara kedua-dua parti terbabit didapati semakin hambar.

Exco Pergerakan Puteri UMNO, Norfadzlete Aryani Mat Rosli mengkritik tindakan Pas menyertai Perikatan Nasional (PN) selain tidak mahu menyatakan kedudukan serta pendirian parti itu.

“Masih ingatkah sahabatku, pada 14 September 2019 tercatat sejarah penting apabila dua parti Melayu, UMNO dan Pas bersatu membentuk MN. Piagam yang ditandatangani menjadi titik persamaan dua parti yang meletakkan asas penting dalam ‘perlembagaan Malaysia’.

“Setahun setengah sudah berlalu, tetapi malangnya situasi mula berbeza. Walaupun UMNO dan Pas berjaya membentuk kerjasama baharu PN bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hubungan dua parti MN ini dilihat semakin hambar,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Norfadzlete yang juga Ketua Puteri UMNO Gua Musang menyuarakan isu itu ketika mencadangkan usul menyokong Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2020 (PAU 2020).

Katanya, berdasarkan pemerhatian ramai, Pas sudah berani untuk mengkritik UMNO walaupun masih bersama dalam MN dan perkara itu menunjukan Pas tidak lagi setia dalam mempertahan gagasan itu.

“Adakah Pas sanggup meninggalkan UMNO demi kepentingan peribadi? Bukan demi kepentingan ummah?

“Hubungan ini wajar dikaji semula sama ada Pas sedia menerima MN dengan memperkasakan atau memilih untuk terus bersama Bersatu,” katanya.

Beliau juga berharap UMNO membuat keputusan segera mengenai hubungan dengan Bersatu tanpa perlu tunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). – UTUSAN ONLINE