Jururawat dicabul pesakit di wad Covid-19

Jururawat dicabul pesakit di wad Covid-19

Polis menahan seorang pesakit lelaki berusia 55 tahun selepas didakwa meraba tangan seorang jururawat wanita di wad Covid-19 di Hospital Kepala Batas di sini baru-baru ini.

Difahamkan, lelaki itu yang merupakan pesakit Covid-19 ditahan pada Isnin lalu selepas dia disahkan sembuh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian itu berlaku pada Isnin minggu lalu kira-kira pukul 11.30 pagi semasa mangsa melakukan prosedur pemeriksaan paras gula dalam darah pesakit itu.

“Selepas mangsa selesai prosedur tersebut, jarinya dipegang dan diusap oleh pesakit.

“Pesakit telah menanyakan pengadu dengan nada manja, ‘sedap tak?’ sebelum mangsa menarik dengan kuat sehingga dapat melepaskan tangannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek dijangka dituduh di Mahkamah Butterworth di sini esok mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE