‘Kenyataan Wan Saiful bagai gendang kosong yang dipalu…’ – Johan Jaaffar

‘Kenyataan Wan Saiful bagai gendang kosong yang dipalu…’ – Johan Jaaffar

Bekas ahli lembaga pengarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Johan Jaaffar, berkata kenyataan Wan Saiful Wan Jan berhubung ‘sumbangan’ beliau selaku pengerusi perbadanan itu selama empat tahun tidak lebih daripada gendang kosong yang dipalu.

“Kenyataan itu juga menampakkan keangkuhan beliau yang tidak bertempat. Beliau dilantik sebagai pengerusi PTPTN sebaik sahaja kemenangan Pakatan Harapan (PH), pada 2018.

“Salah satu tindakan yang dilakukan oleh menteri yang bertanggungjawab pada ketika itu adalah menamatkan perkhidmatan sebahagian besar ahli Lembaga Pengarah PTPTN, termasuk pengerusinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah,” katanya menurut Sinar Harian.

Katanya, walaupun Shamsul merupakan lantikan politik, tetapi beliau menunjukkan sikap profesionalisme tinggi dan komitmen luar biasa.

Johan yang juga tokoh wartawan, berkata walaupun dikekalkan sebagai anggota Lembaga Pengarah, namun membuat keputusan meletakkan jawatan setelah hanya sekali menghadiri mesyuarat dipengerusikan oleh Wan Saiful.

“Saya berpendapat bahawa beliau tidak memahami budaya PTPTN dan lebih buruk lagi, tidak menghargai sumbangan anggota-anggota lembaga PTPTN sebelum itu.

“Beliau terlupa bahawa prestasi paling cemerlang bagi PTPTN adalah pada tahun-tahun sebelum beliau menjadi pengerusi,” katanya.

Semalam, Wan Saiful yang juga ketua penerangan Bersatu, mengesahkan tidak lagi menjawat jawatan pengerusi PTPTN selepas kontraknya tamat, pada 17 Jun lalu.

Bagaimanapun, beliau berbangga dengan pencapaian dan usaha yang dilaksanakan di PTPTN ketika menjawat jawatan itu terutamanya berkaitan penyelesaian jangka panjang dan hutang anak muda dengan menggalakkan penabungan.

Johan ketika mengulas lanjut, berkata pasukan petugas PTPTN dengan bimbingan ahli lembaga pengarahnya telah memberikan perhatian pada semua perkara yang didakwa oleh Wan Saiful sebagai hasil kerjanya.

Katanya, ini termasuklah penekanan pada tabungan dan langkah-langkah proaktif untuk mendapatkan kembali hutang dari peminjam.

Malah, Johan berkata, PTPTN mencatatkan jumlah pungutan hutang tertinggi dalam sejarah penubuhannya pada tahun 2017 apabila institusi itu berjaya memungut sejumlah RM3.8 bilion.

Katanya, Wan Saiful hanya menggunakan PTPTN tidak lebih sebagai wahana atau alat mempromosikan diri dan agenda politiknya.