Jeritan cucu perempuan berjaya selamatkan datuk, nenek daripada kebakaran

Jeritan cucu perempuan berjaya selamatkan datuk, nenek daripada kebakaran

Jeritan cucu perempuan berjaya selamatkan datuk, nenek daripada kebakaran. Jeritan seorang kanak-kanak perempuan menjadi penyelamat nyawa datuk dan neneknya dalam insiden kebakaran di rumah mereka di Kampung Batu 8 1/2, Kampung Paya Rumput di sini, hari ini.

Mangsa, Malik Yassin, 67, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, cucu perempuannya, Nurul Hanani Fadzil Hanafi, 10, tiba-tiba menjerit memberitahu rumah didiami mereka sedang terbakar.

Katanya, dia kemudian bergegas membawa kanak-kanak tersebut dan isteri, Zaini Keling, 66, yang sedang memasak di dapur keluar menyelamatkan diri.

Jeritan cucu perempuan berjaya selamatkan datuk, nenek daripada kebakaran

“Cucu saya baru lepas mandi dan ingin menyalin pakaian, tiba-tiba dia menjerit beritahu rumah terbakar.

“Semasa saya masuk ke biliknya, api telah marak dari kiri dan kanan dinding rumah. Saya bergegas tariknya dan bawa isteri keluar bersama dari rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum kejadian isterinya berada di dapur untuk memasak mi goreng, manakala dia baru pulang daripada berkebun.

“Saya tidak nampak api pun ketika itu, cuma ada terbau seperti benda terbakar, namun saya sangkakan orang kampung bakar sampah.

“Mujur cucu saya menjerit, sempatlah kami semua menyelamatkan diri, barang-barang lain pada bahagian hadapan ini memang hangus sepenuhnya dan saya anggarkan kerugian kami kira-kira RM100,000,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.25 pagi dan sepasukan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, rumah tersebut didapati telah terbakar kira-kira 60 peratus, manakala kesemua penghuni iaitu sepasang suami isteri dan cucu berjaya menyelamatkan diri.

“Operasi terkawal pada pukul 10.46 pagi dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.