Jemaah Menteri dilantik perlu bebas kes mahkamah

Jemaah Menteri dilantik perlu bebas kes mahkamah

Jemaah Menteri dilantik kelak perlu bebas kes mahkamah, kata Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai kes mahkamah walaupun belum ditentukan bersalah tidak patut berada dalam Kabinet.

“Yang terbaik dan paling ideal, saya fikir tidak letakkan mereka (yang ada kes mahkamah) dalam Kabinet supaya tidak timbul isu kelak, selain rakyat sangat tekankan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu hingga kini adalah soal rasuah,” katanya menurut Sinar Harian.

Nik Nazmi ketika mengulas lanjut, berkata setiap parti politik mempunyai Ahli Parlimen yang mampu dan layak untuk memegang jawatan atau portfolio menteri, termasuk menteri kanan dan timbalan perdana menteri.

Katanya, pemilihan ahli Kabinet kelak perlu meneliti semua faktor memandangkan kerajaan yang ditubuhkan adalah berbentuk perpaduan.

Semalam, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyokong cadangan seorang pemimpin Umno yang mahu Ahmad Zahid Hamidi menjadi timbalan perdana menteri dalam kerajaan perpaduan.

Cadangan dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii itu merujuk hierarki Umno di mana Zahid merupakan presiden parti.

Presiden PBRS, Fredie Sua, berkata jawatan itu harus diberikan kepada Zahid kerana Barisan Nasional (BN) adalah rakan utama dalam kerajaan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Selain Zahid yang berdepan kes mahkamah, turut menghadapi pendakwaan adalah pemimpin Pakatan Harapan (PH) membabitkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kerajaan perpaduan diterajui Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) terbentuk dari sokongan pelbagai parti terutama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Muda dan Ahli Parlimen bebas.

Sokongan berkenaan menjadikan Anwar menikmati sokongan dua pertiga di Parlimen seperti diumumkannya, pada Jumaat.