Jawatan MB Johor, Hasni ‘disailang’, Shahrir lahir rasa kecewa

Jawatan MB Johor, Hasni ‘disailang’, Shahrir lahir rasa kecewa

Jawatan MB Johor, Hasni ‘disailang’, Shahrir lahir rasa kecewa. Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad kecewa dengan konflik dalaman parti bagi merebut jawatan Menteri Besar Johor yang ke-19 sehingga calon tunggalnya, Datuk Seri Hasni Mohammad disisihkan.

Jawatan MB Johor, Hasni 'disailang', Shahrir lahir rasa kecewa

Johor Mentri Besar Datuk Hasni Mohammad during press conference at Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar on Wednesday (March 11)

Shahrir yang juga Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru itu terkejut apabila mendapat tahu Hasni mengesahkan secara tersirat akan ada pengganti kepada dirinya bagi jawatan Menteri Besar.

Kekecewaan itu amat besar buat bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu apabila malu untuk tunjuk muka dan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Dengan situasi yang berlaku di dalam parti ketika itu, beliau menyifatkan UMNO tidaklah sehebat mana.

“Malu saya, sepanjang kempen saya ketawakan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai Menteri Besar.

“UMNO sudah pasti dengan Hasni sebagai Menteri Besar tetapi itu tidak cukup kuat dan UMNO Johor tidak mampu lakukan apa-apa.

“Jadi, saya malu hendak ke PAU. Boleh dapat mandat rakyat tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan, taklah sehebat mana UMNO Johor,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, pada PAU yang akan diadakan beberapa hari lagi, beliau sepatutnya menjadi jurucakap untuk UMNO Johor.

“Maaf kepada rakan-rakan. Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah PRN yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali di bawah kepimpinan Datuk Hasni,” katanya lagi.

Sebelum ini, terdapat khabar angin yang menyebut dua calon lain iaitu bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Machap) dan Datuk Mohd. Puad Zarkashi (ADUN Rengit) sebagai calon Menteri Besar.