“Jauhi parti mudah berpaling tadah…” PH mesti perkukuh parti induk, bukan guna khemah besar – Anwar

“Jauhi parti mudah berpaling tadah…” PH mesti perkukuh parti induk, bukan guna khemah besar – Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan konsep pendekatan “khemah besar” yang merangkumi parti-parti pembangkang sebagai mengelirukan dan berkata parti-parti induk Pakatan Harapan harus merangkul kekuatan.

“Bagi saya PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan kekuatan unggul yang mesti dibesarkan.

“Saya tidak guna khemah besar. Saya kata mesti merangkul kekuatan.

“Induk ini harus diperkukuh dan diperkuat sebab dalam pengalaman kita PKR sebagai satu parti, DAP sebagai sahabat rakan setia dan Amanah itu nampak begitu mantap,” katanya dalam satu wawancara yang disiarkan di Selangorkini, hari ini.

Anwar Ibrahim

Menurut Anwar, sebelum ini PH cuba berdamai dengan tokoh-tokoh lain yang dipinggir, namun ada percubaan sehingga menimbulkan ketegangan, keresahan dan pengkhianatan.

Malah menurutnya, pengkhianatan dalaman PKR tidak akan berlaku jika tidak didukung oleh “tok dalang” di luar.

Sukar untuk kerjasama dengan Bersatu, Pejuang

Dalam wawancara itu, dia juga ditanya kemungkinan untuk PH bekerjasama semula dengan Bersatu yang berpaling tadah melalui Langkah Sheraton sehingga menyebabkan kerajaan 22 bulan PH tumbang dan Pejuang yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohammad yang berterusan menolak Anwar sebagai calon perdana menteri.

Sambil mengakui kerjasama itu adalah sesuatu yang sukar walaupun dia lebih cenderung pertandingan satu lawan satu, Anwar berkata dia tidak menolak kemungkinan akan ada persaingan tiga penjuru atau lebih.

Dia juga memberi contoh tentang maksudnya mengenai kesukaran kerjasama itu.

“Umpamanya Pejuang buat kenyataan dia akan mendukung mana-mana sahaja parti yang menang umpamanya. Ya, itu bagi saya sukar.

“Kita kalau ada persefahaman dalam pembahagian kerusi mestilah atas dasar dan prinsipnya.

“Jadi, saya tidak mahu kata kita menolak perbincangan (dengan parti pembangkang lain) tetapi istilah membuka khemah satu soal lainlah.

“Bincang itu perlu, satu kewajaran tetapi bukan semestinya kesepakatan,” katanya sambil mengingatkan bahawa suara akar umbi selalunya negatif jika tidak ada penjelasan.

Anwar berkata selaku ketua pembangkang, perdana menteri akan memanggilnya untuk berunding dan dirinya sedia berunding dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

“Saya ketua pembangkang walaupun dalam Pakatan Harapan itu yang terkuat tetapi ada juga parti-parti lain dalam pasukan pembangkang ini harus saya panggil untuk berunding supaya ada persefahaman dalam beberapa isu.

“Jadi, kadang-kadang ini dikelirukan. Jadi ada beza antara Anwar Ibrahim sebagai presiden PKR, Anwar sebagai pengerusi PH dan Anwar sebagai ketua pembangkang dan diperluaskan,” katanya.

Mengulas mengenai kekuatan parti kerajaan BN (Barisan Nasional) yang sekarang nampak menonjol, katanya pembangkang memerlukan satu persefahaman supaya tidak ada pertindihan seperti yang berlaku pada beberapa pilihan raya negeri, baru-baru ini.

“Di Johor seperti mana orang kata kita kalah, kita kalah tetapi dia lupa kalau kita bersaing satu lawan satu, keputusan itu berbeza. Jadi bagi saya, kita jangan terus padam kemungkinan ini.

“Tetapi mesti ingat, landasannya mesti prinsip. Jangan landasannya itu mengiyakan kepada rasuah, tutup kes mahkamah. Itu ada batasnya,” katanya.