Jarum dalam jantung & paru-paru budak perempuan, suami isteri ditahan

Jarum dalam jantung & paru-paru budak perempuan, suami isteri ditahan

Sepasang suami isteri ditahan polis kerana disyaki membunuh anak perempuan mereka berusia tiga tahun yang dicucuk jarum pada jantung dan paru-paru dalam satu ritual pelik di Argentina.

Daily Mail melaporkan, jarum terbabit ditemui pakar forensik yang melakukan bedah siasat selepas mangsa, Maia Vallejos meninggal dunia di hospital akibat berlaku jangkitan organ hingga menyebabkan jantungnya terhenti.

Salah satu jarum berukuran empat inci yang biasanya digunakan untuk menjahit bola sepak didapati menyentuh jantungnya.

Manakala satu lagi jarum lama yang sudah lama berada di dalam badannya pula menyebabkan jangkitan paru-paru serta punca sepsis dihidapinya.

Hasil bedah siasat itu diketahui selepas pihak berkuasa yang melakukan siasatan kes di wilayah Chaco, utara Argentina melihat segala kemungkinan termasuk ritual pelik.

Maia disahkan meninggal dunia tidak lama selepas tiba di hospital yang terletak berhampiran ibu kota Argentina, Buenos Aires.

Dia tinggal bersama ibu dan bapa tiri di sebuah rumah di tapak kilang papan dan beberapa pekerja di situ turut disoal siasat susulan kejadian kejam terbabit.

Ibu mangsa, 20 dan bapa tiri berusia 19 tahun yang cuba melarikan diri berjaya ditahan polis di pinggir kampung Quitilipi iaitu tempat tinggal mereka.

Wanita yang hamil empat bulan itu menerusi peguamnya, memohon supaya dibenarkan untuk ditahan di rumah kerana mendakwa dipukul dalam penjara.

Banduan yang menyerang itu kemudiannya memuat naik video terbabit di media sosial. | FMT