Jangan ghairah balik kampung

Jangan ghairah balik kampung

GUA MUSANG: Warga kota dinasihatkan jangan terlalu ghairah pulang berjumpa ahli keluarga sehingga membawa jangkitan Covid-19 di kampung.

Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Datuk Shafien Mamat berkata, individu yang berada di zon merah atau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang pulang ke kampung memberi risiko kepada warga emas, ibu bapa dan ahli keluarga lain.

Katanya, mereka juga diseru supaya tidak menyembunyikan fakta diri yang tidak sihat.

“Saya nak tekankan supaya kita jangan ambil kesempatan apabila tidak ada lagi batasan sempadan, negeri dan daerah.

“Semua berlumba-lumba nak balik, tetapi kita kena ingat apabila diri rasa tidak sihat serta bergejala, dapatkan rawatan terlebih dahulu sehingga sembuh,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Gua Musang, di Ibu pejabat Daerah (IPD) Polis, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau menyaksikan Penyerahan tugas Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin kepada pemangkunya, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Sik Choon Foo.

Mohd. Taufik dilantik bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Gua Musang selama tiga tahun bertukar ke negeri Kedah sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik memangku pangkat Asisten Komisioner berkuatkuasa 28 Disember ini.

Shafien berharap warga kota yang sudah pulang ke negeri ini supaya menjaga prosedur operasi standard (SOP) terutama di premis makanan, pusat membeli belah dan tempat awam.

Katanya, dalam tempoh itu penguatkuasaan oleh agensi masih diteruskan.

“Jangan nak balik Kelantan buat benda tak tentu hala dan tindakan masih boleh diambil.

“Jadi gunakan peluang kebebasan yang diberikan oleh kerajaan ini dengan sebaik mungkin dan jangan buat perkara yang memudaratkan orang sekitar kita,” katanya.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/covid-19/2020/12/jangan-ghairah-balik-kampung/