Jadi pemuas ‘nafsu’ lelaki berlagak alim, gadis dakwah rayu pertolongan

Jadi pemuas ‘nafsu’ lelaki berlagak alim, gadis dakwah rayu pertolongan

Jadi pemuas ‘nafsu’ lelaki berlagak alim, gadis dakwah rayu pertolongan.

Kejadian dan kisah perbuatan maksiat yang didakwa dilakukan oleh golongan agamawan dewasa ini, amatlah memalukan. Ia menjejaskan imej golongan tersebut. Ramai yang terkejut dan berasa kecewa.

Tapi itulah hakikatnya. Orang agama juga ada nafsu dan kepentingan peribadi. Walaupun saban hari berdakwah menegah masyarakat daripada melakukan keburukan, belum tentu mereka dapat mengawal nafsu sendiri. Alangkah sedihnya… Ya, yang terlibat hanya segelintir.

Tidak adil untuk menghukum semua. Namun setidak-tidaknya ia mengajar kita supaya jangan taasub dan berhati-hatilah.

Kisah-kisah sebegini mengingatkan Mastika kepada seorang gadis bernama Fiza. Walaupun cerita yang dikongsinya ini sudah berlaku beberapa tahun lalu, sebelum berlakunya pandemik Covid-19, namun wajar untuk Mastika menyiarkannya sebagai pengajaran kepada semua.

Okey… siapa Fiza? Apa kisah yang dikongsinya? Sila baca…

Saya seorang bekas pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan sangat-sangat memerlukan bantuan serta nasihat daripada anda sekalian. Saya sudah kerap merayu pertolongan dengan banyak pihak bagi menyelesaikan masalah yang menghantui diri saya ini tapi tiada sesiapa yang memberi respons.

Saya harap tindakan saya kali ini berkongsi masalah dengan pembaca anda akan dapat mengembalikan semula keyakinan diri ini. Biar saya ceritakan sejak dari awal…

Saya merupakan seorang pelajar jurusan agama dan menganggotai sebuah badan dakwah sejak dari sekolah. Saya amat menjaga amal ibadah dan kehidupan seharian, hinggalah pada suatu hari apabila saya mulai rapat dengan seorang anggota badan dakwah tersebut.

Dialah yang menjadi tempat saya berlindung daripada gangguan seorang lelaki anggota kumpulan tersebut juga, yang kurang saya senangi sikapnya. Saya percaya padanya dan kami merancang untuk bernikah.

Biarlah saya namakan teman lelaki saya ini A. Akan tetapi lama-kelamaan saya dapati A tidak seperti yang saya dan orang lain sangkakan. Dia cuba mencabul saya dan memperlakukan saya seperti isterinya!

Saya tahankan perasaan ini dan cuba memberi peluang kerana saya tahu latar belakang keluarganya yang bercerai-berai, sementelahan dia ingin memperisterikan saya. Demi menjaga tugas dan harga diri, kami jarang keluar bersama. Namun apabila bertemu sekali-sekala, dia masih cuba untuk mengambil kesempatan.

Saya benar-benar tertekan kerana tiada tempat untuk meluahkan perasaan. Dalam masa yang sama kawan-kawan mula perasan saya kelihatan ‘lain’ dan emosi tidak menentu. Walaupun kami belum terlanjur tapi sikapnya yang suka mengambil kesempatan membuatkan hati saya sentiasa gusar.

Jiwa ini diburu perasaan takut serta bersalah. Bukan saja bersalah kepada diri, tapi kepada anggota kumpulan kami, kepada Tuhan. Pelajaran saya merosot. Keputusan peperiksaan saya memalukan.

Dalam keadaan kalut itu, seorang kawan lama (lelaki) hadir dalam hidup saya dan saya menceritakan masalah tersebut kepadanya. Saya tidak menceritakan masalah itu kepada kawan perempuan kerana sudah tentu akan menjadi umpatan.

Biarlah saya namakan kawan lama saya itu B. Dia juga ahli kumpulan dakwah yang kami sertai. Akhirnya, disebabkan dorongan B saya mempunyai kekuatan untuk memutuskan hubungan dengan teman lelaki saya (A).

Saya hormati B kerana dia seorang yang komited dengan dakwah. Malah dialah yang mempelopori gerakan itu di IPT tempat kami belajar. Melihatkan jiwa saya yang begitu tertekan, B berjanji akan mengambil saya sebagai isteri.

Gembiranya saya tidak dapat diucapkan. Saya mengucap syukur ke hadrat Ilahi. Sejak lama saya mengimpikan untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki soleh, kini ia hampir menjadi kenyataan.

Kami benar-benar menjaga perhubungan. Namun hasratnya untuk memperisterikan saya telah ditolak ibu bapanya. Mereka mensyaratkan agar kami menikah pada usia 26 tahun, yakni tiga tahun dari sekarang. Kami benar-benar kecewa. Di sinilah bermulanya satu lagi episod hitam dalam hidup saya.

Dalam pada sibuk memikirkan pelan agar kami dapat bersama, kami tewas diperdayakan syaitan. Kehidupan kami sudah jauh daripada dakwah.

Kami hanyut dalam buaian nafsu. Kami jadi seperti pasangan-pasangan muda lain yang mengambil kesempatan bila dapat bersama di tempat sunyi. Tiada bezanya kami dengan mereka, kecuali kami berpakaian sopan dan menganggotai kumpulan dakwah. Pulang ke rumah saya menangis.

Ya Allah, kenapa saya jadi begini? Saban hari saya berdoa agar dibukakan pintu hati kami agar kembali kepada dakwah.

Saya berasa sungguh tertekan dan tidak tega untuk terus bersama gerakan dalam keadaan begini kerana saya tidak mahu perangai saya memberi kesan kepada gerak kerja orang lain. Saya bernar-benar menderita.

Saya tidak ada kekuatan untuk menolaknya, apalagi untuk menolak berjumpa dan bersama dengannya. Dia benar-benar ingin menjadikan saya isterinya, dia mendidik saya ke arah kehidupan beragama namun pada masa yang sama kami berbuat maksiat juga. Hinggakan saya berasa amat malu dengan sekalian manusia dan penduduk langit kerana perbuatan keji yang saya lakukan itu.

Bila saya cuba lari daripada perkara itu, benda yang lebih dahsyat lagi berlaku. Kadangkala saya berasa seolah-olah Allah tidak pernah membantu saya. Saya tahu saya tidak boleh berprasangka begitu tapi bila melihat kawan-kawan, junior-junior saya yang dengan mudahnya mendapat pertolongan, pernikahan, jauh daripada maksiat dan terus istiqamah dalam dakwah, saya jadi tertekan.

Kenapa semua ini berlaku pada saya? Saya mengimpikan sebuah hidup yang ideal namun sekarang semuanya musnah. Kenapa saya? Kenapa tidak orang lain? Saya bukan budak jahat, saya ingin menjadi serikandi agama, kenapa halangan yang amat besar saya hadapi sekarang?

Saya amat merindui jalan yang pernah saya rintis namun hari ini saya berseorangan. Saya rasa sayalah manusia paling hina. Saya malu kerana menjadi manusia hipokrit, berpakaian litup dan berbicara pasal agama, tapi di belakang orang, saya melakukan maksiat.

Ya Allah, kenapalah begini besar ujian yang menimpa diriku ini. Jiwa saya tertekan. Hidup ini kosong. Saya tidak tahu apa lagi yang boleh saya lakukan melainkan terus berdoa agar keadaan ini berakhir dan saya dapat bersama kawan-kawan yang lain menegakkan agama Allah.

Saya sayangkan Islam dan merindui saat-saat indah ketika menyuburkannya bersama kawan-kawan. Saya benar-benar tidak tahan lagi. Tolong… bantulah saya.