Jadi mangsa kelentong ‘gadis’ mat saleh

Jadi mangsa kelentong ‘gadis’ mat saleh

Seremban: Cinta diharapkan dari gadis warga Australia namun sebaliknya menyebabkan seorang mekanik ditipu sindiket ‘Love Scam’ dan kerugian RM2,250.

Mangsa berusia 33 tahun itu mendakwa mengenali wanita terbabit menerusi laman sosial Facebook (FB) sejak Oktober lalu.

Mangsa memberitahu, menerima pesanan mesej memberitahu kenalannya itu sudah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 11 pagi, Rabu lalu.

“Selepas itu, saya menerima panggilan daripada seorang wanita mendakwa sebagai pegawai kastam. Dia meminta saya memasukkan wang sebanyak RM2,250 ke dalam akaun bank dengan alasan bagi membebaskan rakan saya yang ditahan.

“Semasa ditahan ‘kastam’, rakan saya itu mendakwa tiada mata wang Ringgit Malaysia (RM) dan memerlukan bantuan sebelum saya membuat transaksi sebanyak RM2,250,” katanya di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Bukit Kepayang di sini, tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan merangkap ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon.

Menurut mangsa, dalam tempoh dua jam selepas itu, teman wanitanya itu sekali lagi menghantar pesanan dan memaklumkan urusan itu belum selesai dan memerlukan wang tambahan sebanyak RM5,200.

“Wanita terbabit meminta saya memindahkan wang tambahan kononnya bagi tujuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Bagaimanapun, saya mula sangsi dan mengesyaki wujud unsur penipuan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2 di sini, Khamis lalu,” katanya.

Sementara itu, Nicole menggesa orang ramai berhati-hati dan perlu mengambil iktibar berkenaan kes penipuan membabitkan sindikit ‘Love Scam’.

“Saya faham pelbagai idea dilakukan penjenayah untuk menipu orang awam. Saya harap orang ramai tidak mempercayai dengan rakan dikenali menerusi media sosial,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/650198/jadi-mangsa-kelentong-gadis-mat-saleh