Isu tuntutan Sulu, Jawatankuasa Parlimen mula prosiding 11 Ogos

Isu tuntutan Sulu, Jawatankuasa Parlimen mula prosiding 11 Ogos

Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa akan memulakan prosiding berhubung isu tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas aset negara pada 11 Ogos ini, selaras Peraturan Mesyuarat 83(4) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pengerusinya, Salahuddin Ayub (PH-Pulai) berkata, prosiding berhubung isu itu wajar dimulakan selepas beberapa usul yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen menurut Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) ditolak untuk dibahas dalam Dewan Rakyat.

“Maka, jawatankuasa ini telah berbincang dan berpandangan tuntutan itu (kumpulan Sulu) adalah isu yang sangat serius dan sekiranya tidak ditangani dengan baik, berpotensi menjejaskan kepentingan negara.

“Sehubungan itu, jawatankuasa ini mengambil keputusan selaras peranannya seperti ditetapkan Dewan Rakyat untuk menjalankan peranan semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan serta memartabatkan institusi demokrasi berparlimen,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Sebagai permulaan, katanya, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan dipanggil untuk menghadiri prosiding itu.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Nazri Aziz (BN-Padang Rengas), Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort), Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat), Tiong King Sing (GPS-Bintulu), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) dan Awang Husaini Sahari (PH-Putatan).

Salahuddin Ayub berkata, prosiding berhubung isu tuntutan waris Kesultanan Sulu wajar dimulakan selepas beberapa usul dikemukakan beberapa Ahli Parlimen ditolak untuk dibahas dalam Dewan Rakyat.