Isu ‘periuk nasi’ bakal mempengaruhi pengundi muda di PRU15

Pengundi muda lebih berkemungkinan mengundi parti yang mampu menjanjikan kestabilan ekonomi, jaminan kerja dan kehidupan lebih baik, menurut satu badan pemikir.
Fakhrurrazi Rashid dari Research For Social Advancement Berhad berkata, wabak Covid-19 mengetengahkan isu ekonomi sebagai sesuatu yang penting bagi golongan muda.
“Mereka dapat melihat segmen masyarakat yang bergelut setiap hari untuk mencari kerja dan gaji lebih baik,” katanya kepada FMT, sambil menambah, kadar pengangguran adalah pada 11%, tertinggi dalam dekad ini.
Retorik politik lama menggunakan isu ketuanan Melayu dan sistem kuota hanya memberikan kesan minimum, katanya.
Menurutnya, pengundi muda lebih berpengetahuan dan mempertimbangkan apa yang terbaik untuk mereka berdasarkan fakta.
“Pemikiran seperti ini yang menyebabkan pengundi muda digambarkan sebagai ‘sukar dibaca’ dan ‘sukar diyakinkan’. Mereka menjadi sangat kritikal ketika memilih pemimpin pada PRU15,” katanya.
Penganalisis politik, James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, golongan muda amat bimbangkan masa depan disebabkan wabak, memandangkan mereka memulakan kehidupan dan kerjaya dalam persekitaran ekonomi yang buruk.
“Saya tidak fikir anda boleh capai kumpulan muda tanpa menyediakan sesuatu yang mampu memanfaatkan mereka secara peribadi, contohnya, prospek kerjaya lebih baik,” katanya.
Chin berkata, segelintir golongan muda akan memperjuangkan keadilan sosial dan isu alam sekitar, namun mereka cuma sekumpulan kecil berbanding dengan yang mahukan kestabilan ekonomi dan keselamatan.
Disoal mengenai impak pempengaruh media sosial terhadap keputusan golongan itu, Fakhrurrazi berkata, ia tidak sekuat pengaruh rakan sebaya dan ahli keluarga.
“Golongan muda lazimnya lebih cenderung terhadap berita yang disampaikan oleh dua kumpulan, iaitu keluarga dan rakan-rakan. Dua medium ini menjadi rujukan untuk mereka melihat lebih mendalam isu semasa dari perspektif berbeza, khususnya politik,” katanya.
Sementara itu, Chin berkata, pengundi muda dipengaruhi oleh program berita, atau pihak yang mempunyai idea baharu, serta berkongsi fakta dan angka.
Berhubung apa diharapkan daripada ahli politik, Fakhrurrazi berkata, pengundi muda mahukan kepimpinan yang mesra belia, dan bertanggungjawab dalam menangani ekonomi.
Chin berkata, pengundi muda juga mahukan inisiatif yang secara khusus menyasarkan mereka dan keperluan mereka untuk kehidupan lebih baik.
“Mereka mahu diiktiraf sebagai blok politik, dan mereka mahu ahli politik memenuhi keperluan dan kepentingan mereka,” katanya.