Isu Lompat Parti : Pandangan pimpinan Pas berbeza-beza

Tindakan wakil rakyat melompat parti tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan.
Oleh itu katanya, Akta Anti Lompat Parti di Pulau Pinang tersekat kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan terlebih dahulu.
“Macam undang-undang yang ada di Pulau Pinang tetapi tidak dapat dilaksanakan walaupun ada yang lompat parti sebab mahkamah memutuskan akta berupa anti lompat parti ini tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Menurutnya, pengubalan akta berkenaan tertakluk kepada perintah mahkamah yang sebelum ini telah memutuskan sebarang undang-undang berkaitan anti lompat parti bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.
“Tidak boleh buat perkara itu (Akta anti lompat parti). Kalau nak buat juga kena pinda Perlembagaan Persekutuan dahulu,” katanya.
Untuk rekod, berdasarkan Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan mana-mana Adun yang berhenti menjadi ahli parti diwakili semasa pilihan raya perlu mengosongkan kerusinya.
Bagaimanapun, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menguatkuasakan undang-undang itu walaupun empat Adun negeri tersebut menarik sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
Empat Adun berkenaan itu ialah dua Adun Bersatu dari Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim yang menarik semula sokongan terhadap kerajaan PH dan kemudian bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Selain itu, dua lagi ialah Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan Adun Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim pula tidak lagi menjadi wakil rakyat PH apabila dipecat daripada PKR.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, akta tersebut boleh dilaksanakan sebaik sahaja Perlembagaan dipinda.
“Dalam kes Nordin Salleh dahulu, mahkamah memutuskan bahawa apa-apa undang-undang yang berkaitan anti lompat parti bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak sah, jadi tidak boleh buatlah,” kata pemimpin PAS itu lagi.
Pada April 1992, dalam kes Nordin lawan Dewan Undangan Negeri Kelantan, Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan) ketika itu memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota Dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan.
Ia sebagaimana seperti diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan, katanya memlalui MalaysiaKini
Namunnya pada dua tahun lepas, seorang ulama PAS pernah mengaitkan tindakan melompat parti sebagai takde iman di hati. Penceramah terkenal dan anggota Jawatankuasa PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani kata seseorang wakil rakyat yang melompat keluar dari parti dan kerusinya dianggap membawa dosa khianat sehingga ke pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ahmad Dusuki yang dicalonkan PAS untuk merampas kerusi dewan undangan negeri Kota Anggerik – dan kalah perbezaan lebih 17,000 undi – pada 9 Mei lalu mengulas mengenai tindakan anggota dewan undangan negeri (Adun) Guar Chempedak meninggalkan Umno. Sebenarnya, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz pun pernah kata benda yang sama.
Kata Ahmad Dusuki jika ada wakil rakyat yang mahu lompat parti diorang mesti lepaskan kerusi yang dimenangi tu untuk membolehkan pengundi masing-masing membuat pilihan semula melalui pilihan raya kecil.