Isu kerjasama blok pembangkang, Pas enggan melatah tapi semakin tertekan

Isu kerjasama blok pembangkang, Pas enggan melatah tapi semakin tertekan

Pas tidak mahu mudah melatah berhubung pandangan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin membuat kerangka kerjasama dengan parti pembangkang bagi mewujudkan kestabilan dalam negara.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan sama ada Pas akan bekerjasama dengan DAP sebagai contoh, perlu diajukan kepada individu yang menolak kerjasama itu.

“Soalan tersebut kena tanya kepada sesiapa yang keluar kenyataan mendakwa Pas tak bekerjasama bersama DAP,” katanya.

Sebelum itu, Ismail Sabri dalam perutusan pertamanya selaku Perdana Menteri menawarkan kerjasama dengan blok pembangkang menerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Pengumuman itu sedikit sebanyak memperjelaskan kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang menjangka Perdana Menteri kesembilan itu akan membuat kerangka kerjasama dengan parti-parti pembangkang bagi mewujudkan kestabilan dalam negara.

Ketika kemelut politik sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengulangi pendirian parti itu tidak akan menerima DAP dalam kerajaan.

Sumber | PSH