Isu jawatan TPM: PAS sentiasa ada dalil

Isu jawatan TPM: PAS sentiasa ada dalil

Cara PAS menguruskan isu jawatan timbalan perdana menteri sekarang, kata Faiz Fadzil, mengingatkan orang ramai kepada pendekatan diambil parti terbabit menjawab kegagalan pindaan Akta 355.

Kata Faiz walau dalam keadaan bagaimana sekali pun, PAS sentiasa memiliki dalil untuk memberikan justifikasi terhadap pendiran yang diambil mereka.

Faiz Fadzil,

Menurut anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional itu, semasa PAS giat mahu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 – yang lebih dikenali sebagai Akta 355 – dipinda, kegagalannya disandarkan kepada hujah bahawa mereka belum menjadi kerajaan.

“Tapi apabila sudah jadi kerajaan sekarang, dalil lain pula diberikan,” katanya.

Menurut Faiz, kaedah itu jugalah dilakukan PAS dalam isu jawatan timbalan perdana menteri apabila parti terbabit dianggapnya “berpusing-pusing mencari dalil”.

Berawal dengan penafian pemimpin tertinggi PAS, katanya, perjanjian didakwa dipersetujui Bersatu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tersebut didedahkan mendapat penglibatan salah seorang tokoh utama parti terbabit.

Lebih memalukan, kata Faiz, draf perjanjian berkenaan turut mendapat sumbangan tokoh PAS dan dilakukan secara diam-diam sehingga tidak diketahui presidennya sendiri.

“Tetapi, dia kata bukan satu perjanjian, cuma satu memorandum perjanjian (MOA), sedangkan dalam undang-undang, MOA itu sama tarafnya dengan perjanjian,” katanya.