Isteri Syafiq dipindahkan ke HKL

Isteri Syafiq dipindahkan ke HKL

Georgetown: Nur Amalina Norain, 25, isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, yang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) kini dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pemantauan pakar di sana.

Perkara berkenaan dimaklumkan bapa Muhammad Syafiq, Ahmad Ibrahim, 56 yang memberitahu bahawa keadaan menantunya itu bertambah baik namun pakar perubatan di sana ingin terus memantau keadaan Nur Amalina.

Ahmad berkata, menantunya itu dipindahkan ke HKL sekitar jam 6.30 pagi tadi dan mereka sekeluarga akan ke ibu negara bagi menziarahi serta memberi semangat kepada Nur Amalina.

“Selepas pembedahan yang dijalankan keadaan menantu saya bertambah baik dan stabil namun dia dipindahkan ke HKL kerana pakar di sana mahu memantau keadaan kesihatannya dengan lebih lanjut.

“Kami sekeluarga bersama Syafiq akan ke HKL untuk bersama Nur Amalina sehingga dia sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, Nur Amalina dipindahkan dari Hospital Sungai Bakap (HSB) ke HSJ selepas mengadu kesakitan di bahagian perut dan belakang anggota badannya kesan daripada kemalangan yang menimpa mereka sekeluarga termasuk pembantu rumah pada awal pagi Ahad lalu.

Pemeriksaan doktor mendapati Nur Amalina mengalami kecederaan patah tulang rusuk, pendarahan dalam perut dan otak serta patah tulang peha kiri yang memerlukan pembedahan segera dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi Ahad lalu, Muhammad Syafiq yang memandu Toyata Vellfire dari Johor Bahru dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina, yang berpantang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah.

Turut menaiki kenderaan terbabit ialah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan dua anak pemain bola sepak itu Aaira Nur Saffiya, 2 dan Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 42.

Nahas terbabit mengorbankan Zainab, Muhammad Aisy Saqeef dan Titik.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/651191/isteri-syafiq-dipindahkan-ke-hkl