Ismail Sabri, Hishammuddin mungkin tiada dalam senarai Jemaah Menteri baharu

Ismail Sabri, Hishammuddin mungkin tiada dalam senarai Jemaah Menteri baharu

Ismail Sabri, Hishammuddin mungkin tiada dalam senarai Jemaah Menteri baharu. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mungkin tidak terpilih untuk menyertai Jemaah Menteri baharu Anwar Ibrahim, kata sumber.

Jika mereka terpilih, ia akan menjadi “kejutan yang hebat” walaupun Ismail dan Hishammuddin, masing-masing menjadi menteri sejak 2008 dan 1998, lebih berpengalaman dalam kerajaan berbanding kebanyakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Menurut laporan FMT, kedua-dua pemimpin UMNO itu telah dilaporkan secara meluas mengambil pendirian menentang kerjasama parti mereka dengan Pakatan Harapan (PH).

“Jadi jika mereka dilantik menganggotai Jemaah Menteri, ia satu kejutan besar,” kata sumber yang enggan dinamakan itu.

“Saya yakin malah penyokong Anwar yang paling kuat akan merasakan pelantikan Hishammuddin dan Ismail (dalam Jemaah Menteri) sesuatu yang membingungkan.

Dalam kerajaan pimpinan Ismail sebagai perdana menteri, Hishammuddin ialah menteri kanan bagi keselamatan dan menteri pertahanan.

Ketika berlakunya kebuntuan politik selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Hishammuddin berkata, beliau berpegang teguh pada pendiriannya menentang kerjasama dengan PH.

Katanya pada 21 November, beliau tidak akan mengubah pendiriannya dan sanggup dipecat daripada UMNO oleh pihak yang sebelum ini menganjurkan prinsip ‘tolak Anwar, tolak DAP’.

Pada hari berikutnya, Ismail juga berkata beliau tidak akan bekerjasama dengan PH dalam apa juga keadaan, berikutan pengumuman BN untuk membentuk blok pembangkang Parlimen dan tidak menyokong mana-mana daripada dua gabungan yang bersaing untuk memerintah.

Bagaimanapun, BN selepas itu bersetuju menyokong kerajaan perpaduan yang akan ditubuhkan oleh Anwar, juga pengerusi PH, yang dilantik menjadi perdana menteri pada Khamis.

Timbul persoalan mengenai 10 Ahli Parlimen BN yang pada mulanya menyokong usaha Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan.

Difahamkan bahawa 10 Ahli Parlimen itu mendakwa mereka telah diperdaya oleh seorang pemimpin kanan Umno untuk menyokong PN.

“Jadi mereka (10 Ahli Parlimen) masih dalam pertimbangan (untuk disertakan dalam Jemaah Menteri). Tetapi pemimpin yang mengelirukan mereka harus bertanggungjawab,” kata sumber itu.

Anwar dijangka menamakan anggota Jemaah Menterinya dalam masa beberapa hari. Beliau mengetuai kerajaan perpaduan yang terdiri daripada PH, BN, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah, dengan sokongan Ahli Parlimen Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia dan bebas.

Ismail Sabri, Hishammuddin mungkin tiada dalam senarai Jemaah Menteri baharu