Inspektor polis bersekongkol lepaskan suspek Macau Scam

Inspektor polis bersekongkol lepaskan suspek Macau Scam

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang pegawainya bersekongkol dalam melepaskan suspek sindiket Macau Scam di Pulau Pinang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, selepas siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, didapati wujud kesalahan dalam kes tersebut.

“Kita akan mengambil tindakan yang sedrastik yang boleh. Ini terang-terang satu pengkhianatan kepada amanah yang telah saya berikan kepada semua pegawai-pegawai saya di bawah.

“Hentikan perbuatan-perbuatan sebegini, di mana mereka telah melanggar peraturan, melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, memang kita nak dakwa pegawai-pegawai ni,” tegas Abdul Hamid.

Beliau ditemui selepas majlis pemakaian sayap juruterbang dan penutupan rasmi kursus Private Pilot’s Licence (PPL) No 18, Siri 01/2019 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara PDRM di Ipoh pada Jumaat.

Menurutnya, beliau tidak cenderung kepada tindakan tatatertib kerana hukumannya tidak setimpal.

Sehubungan itu, beliau akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SSP) untuk mengambil tindakan lebih tegas, seperti buang kerja dan turun pangkat.

Difahamkan, pegawai tersebut berpangkat Inspektor dan berkhidmat di bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang. – AA