Inspektor direman kes salah guna jawatan untuk jatuhkan reputasi rakan sejawat

Inspektor direman kes salah guna jawatan untuk jatuhkan reputasi rakan sejawat

ALOR SETAR: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor di Pulau Pinang, direman empat hari bermula semalam, bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan diri pada akhir September lalu.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, berkata lelaki berumur 33 tahun itu disyaki melakukan perbuatan terbabit untuk menjatuhkan reputasi seorang lagi pegawai polis berpangkat inspektor dengan tuduhan berkhalwat.

“Suspek bersama seorang lagi pegawai polis berpangkat inspektor dan seorang lelaki awam, disyaki terbabit serta bersubahat dengan seorang gadis berusia 16 tahun untuk memerangkap inspektor berkenaan.

“Gadis itu disyaki diminta membantu memerangkap inspektor terbabit untuk pergi ke sebuah bilik hotel di Georgetown, Pulau Pinang.

“Apabila mangsa berdua-duaan, suspek disyaki memaklumkan kepada pejabat agama supaya membuat serbuan atas kesalahan khalwat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shaharom Nizam berkata, suspek disyaki menjanjikan wang sebanyak RM3,000 dan tidak akan mengambil tindakan terhadap gadis itu kerana pernah ditahan berkaitan kes pil ekstasi, sebagai balasan untuk tindakan sedemikian.

Katanya, suspek ditahan di pejabat SPRM pada jam 7.21 malam kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, inspektor berusia 30 tahun bersama lelaki berusia 32 tahun yang turut ditahan pula dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Inspektor dan lelaki yang dilepaskan itu ditahan secara berasingan, masing-masing kelmarin dan semalam, di pejabat SPRM Sungai Petani.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/761106/inspektor-direman-kes-salah-guna-jawatan-untuk-jatuhkan-reputasi