Ingat ikan besar rupanya buaya tembaga betina

Ingat ikan besar rupanya buaya tembaga betina

Hajat seorang penduduk di Kampung Alit untuk menangkap ikan bertukar sebaliknya apabila buaya pula yang tersangkut pada mata rawai (pancing berangkai) yang dipasangnya pagi semalam.

Seekor buaya tembaga betina dijumpai tersangkut pada beberapa mata rawai ketika pemilik rawai datang melihat rawai yang dipasang kira-kira jam 8 pagi semalam.

Penduduk terbabit, Safar @ Kenon Sapali ,42, berkata, puluhan daripada ratusan mata rawai yang dipasang tersangkut pada bahagian badan buaya berkenaan menyebabkan buaya berkanaan tidak dapat melepaskan diri.
“Saya terpaksa panggil beberapa penduduk lain untuk membantu membawa buaya itu ke tebing pantai. Usaha menjinakkan buaya memakan masa kerana terpaksa cari jalan untuk menutup mulut buaya daripada menyerang dan mencederakan kami.

“Buaya yang masih hidup menyukarkan kerja kami kerana buaya berkenaan cuba menyerang dengan membuka rahang apabila didekati.

“Kami terpaksa menggunakan sesuatu untuk menutup mata dan seterusnya mengikat mulut buaya sebelum kami menanggalkan mata pancing yang tertusuk di badan buaya itu.

“Sebaik selesai dipisahkan dari mata rawai kami bawa buaya itu ke halaman rumah untuk tindakan pihak berkenaan seterusnya,” ujarnya.

Menurut Sapar, rawai berkenaan dipasang di kawasan tepi Pantai Kampung Alit berhampiran dengan Muara Sungai Bubus di sini.

Pada pagi itu dia katanya langsung tidak mendapat walau seekor ikanpun terutama ikan pari
“Selalunya saya akan dapat paling tidakpun sekitar lapan ke 10 ekor ikan pari. Tapi kerana buaya yang tersangkut pada mata rawai saya tak dapat apa-apa.Tapi syukur buaya itu tak mencederakan saya sebelum ini,”tambahnya.

Pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan empat anggota dari Betong telah dipanggil dan tiba jam 6.30 petang semalam bagi mengambil buaya berkenaan untuk diserahkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan).

Buaya yang badannya berukur lilit sekaki lebih dengan panjang lebih tujuh kaki akan dihantar ke Kuching untuk tindakan selanjutnya.

Sumber berita : https://sarawakvoice.com/2020/11/10/tangkap-ikan-dapat-buaya-tembaga-betina/