Ikut nasihat Ku Li, Umno harus keluar sebelum terlambat

Ikut nasihat Ku Li, Umno harus keluar sebelum terlambat

Di sebalik UMNO sudah menetapkan pendirian tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu untuk menghadapi PRU15 akan datang, keputusan kekal berada dalam kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan bukanlah suatu tindakan yang betul dan tepat sebenarnya.

Tindakan itu boleh menimbulkan kekeliruan kepada akar umbi, melemahkan parti dan seolah-olah UMNO tidak cukup yakin dengan keputusan yang diputuskannya sendiri.

Lebih penting, sementara tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu tetapi terus duduk dalam kerajaan PN yang diterajui Bersatu dan kekal menerima Muhyiddin Yassin, Pengerusi Bersatu sebagai Perdana Menteri, ini juga merupakan “lawak jenaka mega yang benar-benar bertaraf antarabangsa.”

Tidak pernah berlaku di dunia ini ada mana-mana parti yang membuat keputusan putus hubungan dengan parti lain dalam kerajaan, tetapi menangguhkan keputusan tersebut kepada suatu tarikh lain yang akan ditentukan oleh musuh tersebut.

Suami isteri yang nak bercerai atau mengumumkan tidak mahu hidup bersama pun akan keluar rumah dengan serta-merta.

Dalam keadaan ini, lebih-lebih lagi kerana Bersatu masih berharap kerjasama daripada UMNO dan selepas itu ingin menjadikan parti itu budak suruhannya, kalau pun tidak ‘membunuhnya’, dengan tempoh masa yang penangguhan itu, Bersatu sudah pasti akan terus mencari jalan untuk melemahkan UMNO.

Melalui kuasa, jawatan dan kemampuan kewangan yang dimiliki, menangguhkan tindakan keluar daripada kerajaan PN, adalah suatu kelebihan buat Bersatu.

Selain Bersatu akan terus mencari jalan untuk melemahkan UMNO dan menjadikannya parti yang bercelaru, Muhyiddin pula sudah pasti akan terus menangguh-nangguhkan tarikh untuk membubarkan Parlimen.

Oleh kerana keberadaan UMNO dalam kerajaan PN adalah sehingga Parlimen dibubarkan dan selepas itu akan berlawan dengan Bersatu di hampir semua kerusi Melayu dalam PRU, Muhyiddin sudah tentu hanya akan membubarkan Parlimen di waktu UMNO benar-benar dalam keadaan lemah.

Bermakna sekarang ini, sementara Bersatu memgambil maklum pendirian UMNO itu, mereka juga dalam waktu yang sama terus berusaha memujuk sambil mencari jalan untuk melemahkan UMNO.

Hanya apabila UMNO lemah, bercelaru dan sebahagian pemimpinnya sendiri ada yang memihak kepada Bersatu, maka di ketika itu barulah Muhyiddin akan membubarkan Parlimen agar PRU15 dapat diadakan.

Sebab itu, tindakan UMNO terus berada dalam kerajaan dan menangguhkan keluar daripada kerajaan PN, ia sebetulnya adalah keputusan yang salah bakal merugikan diri sendiri.

Yang untung dan bakal mendapat manfaat daripadanya ialah Bersatu.

Dalam hal ini, saranan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah agar parti itu dengan segera meninggalkan kerajaan PN adalah satu-satunya yang pilihan yang tepat pada ketika ini.

“Nasihat ikhlas saya kepada semua ahli-ahli UMNO yang berada dalam kerajaan dan GLC, Muhyiddin dah ugut hendak buang kita.

“Tunggu apa lagi, berhenti segera dan jaga maruah diri dan maruah parti Umno,” katanya dalam kenyataan pada 4 Mac lalu.

Ku Li dalam kenyataan sama turut mencadangkan agar MT UMNO segera bermesyuarat dan meminda keputusan agar tidak perlu menunggu sehingga Parlimen dibubar untuk meninggalkan kerajaan PN.

“Silap perhitungan? Putus hubungan dan keluar kerajaan PN sekarang.

“Berhenti main wayang kulit. Tak ada faedah dan tak ada kesan dengan apa yang dilakukan sekarang,” tegasnya lagi.

Sesungguhnya, UMNO melalui keputusannya tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu itu bertujuan kerana ingin kembali berkuasa dan menduduki semula kerusi Perdana Menteri, mendengar nasihat Ku Li adalah cara yang betul dan pilihan yang tepat bagi tujuan itu.

Ketika ini yang sedang lemah, lemas dengan pelbagai isu dan ditolak rakyat ialah Muhyiddin serta Bersatu, bukannya UMNO.

Keluar daripada kerajaan PN di ketika Bersatu dan Muhyiddin sedang lemah, ditolak dan sarat dengan pelbagai isu bukan saja menjadikan UMNO lebih disanjung rakyat, malah akan memaksa PRU diadakan dalam tempoh yang tidak terlalu lama daripada sekarang.

Dengan itu, peluang jauh lebih terbuka untuk UMNO memenangi pilihanraya dan dapat berkuasa semula berbanding menangguhkan masa dan membiarkan Muhyiddin yang menentukan tarikh PRU mengikut pilihannya.

Ketika Muhyiddin dibiar menentukan tarikh PRU, pastilah tarikh yang dipilihnya nanti ialah ketika Bersatu dan PN lebih kuat dan stabil berbanding UMNO serta di ketika peluang untuknya mengekalkan lagi jawatan Perdana Menteri dalam sangat cerah.

Ketika itu nanti, segala impian yang ingin dikejar UMNO tidak lagi seceria menteri di pagi hari. – SDC