Idea atau ideologi tidak jamin AMANAH akan terus maju

Kelahiran Parti Amanah Negara (AMANAH) merupakan natijah daripada penjajaran semula politik Muslim dalam negara ini. Sewaktu tren keterbukaan mula menguasai aktivis Muslim terutama mereka yang berada di dalam Parti Islam Malaysia (Pas), lahir kesedaran bahawa kaedah dan mesej yang dibawa parti lama itu tidaklah mencerminkan objektif pemerintahan berasaskan ajaran dan nilai Islam.
Beberapa dekad yang lalu Pas dikuasai dogma “kafir-mengkafir” dengan pendekatan keras konservatisme yang tidak memberi perhatian kepada persekitaran sosio-politik yang ada malah mengenepikan juga keluasan Islam dalam aspek pemerintahan yang perlu digarap bagi abad ke-21 ini.
Kesedaran terhadap kelemahan ini mencetuskan satu aliran pemikiran dan akhirnya satu gerakan pembaharuan dalam parti lama itu sehingga daripada desakan aktivis dan pemimpin parti ini yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan profesional dan bukan “ulama” yang berpengaruh, Pas mula mendekati realpolitik Malaysia dengan satu pendekatan baru.
Pendekatan yang ketika itu dislogankan sebagai “Pas untuk Semua”, yang terangkum di dalamnya mesej bahawa seluruh rakyat Malaysia boleh sama-sama menikmati “keindahan Islam” yang mengambil kira realiti rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama. Sekali gus retorik “negara Islam”, mula berkurangan diganti pendekatan yang mesra demokrasi dan menampilkan idea “demokrat Muslim”.
Pendekatan baru ini yang mendapat tempat dalam masyarakat Malaysia mungkin telah memberi kesan kepada pengaruh dan kuasa golongan konservatif yang diterajui sebilangan “ulama” berpengaruh, sekaligus mencetuskan persaingan pengaruh dalam parti itu yang akhirnya menyaksikan penyingkiran kelompok profesional pendukung pembaharuan dan keterbukaan itu.
Hilangnya kelompok ini dari Pas bukan bererti ideologi dan gagasan baru yang mereka bawa turut hilang. Kelahiran AMANAH sebenarnya merupakan lanjutan daripada projek yang telah lama bermula dalam parti konservatif Pas itu.
Kini AMANAH memasuki tahun ke enam kewujudannya – sekiranya diambil kira juga era pra AMANAH yang bermula dengan Gerakan Harapan Baru atau GHB pada tahun 2015. AMANAH secara rasminya dilancar pada 16 September 2016.
Pengalaman enam tahun ini sudah tentu boleh memberi input penting bagi kelangsungan parti ini. Pendekatan inklusif, progresif dan peduli yang sebahagiannya adalah cetusan daripada dasar yang dipegang parti ini seperti yang terangkum dalam slogan “Rahmatan lil alamin” (Rahmat bagi seluruh alam) menjadi kompas memandu parti, sudah tentu ia memerlukan suntikan program, idea dan aktiviti yang baru agar terus menjadi tarikan bagi rakyat.
Sekadar idea atau ideologi semata-mata tidak memberi jaminan yang parti ini akan terus maju ke hadapan dan berjaya meraih sokongan daripada rakyat, apatah lagi dalam arena persaingan politik yang semakin meningkat dengan penyertaan pesaing-pesaing lama dan baru.
Walaupun asas ideologi AMANAH adalah mantap kerana berpaksikan kefahaman dan amalan Islam dalam konteks yang luas, kontemporari dan bukan sebagai alat retorik konservatif, membawa idea tentang “rahmah” dan nilai-nilai progresif, inklusif dan peduli itu agak sukar meresap dalam masyarakat yang sudah berdekad lamanya dibentuk dengan idea agama yang eksklusif, konservatif dan keras seperti pada awal 1980-an sehingga tahun 2000. Malah idea konservatif yang keras masih menjadi tarikan bagi parti politik seperti Pas sebelum ia menyertai kerajaan sekarang.
Ringkasnya masyarakat di Malaysia, khususnya masyarakat Muslim pada masa ini masih belum sampai ke tahap penerimaan idea bahawa Islam adalah “rahmat”. Kefahaman secara retorik konservatif yang telah dibina sekian lama oleh pihak seperti Pas dan parti dan organisasi lain dengan naratif pelaksanaan undang-undang jenayahnya dan keperluan kepada pembezaan dengan “bukan Islam” dari segi rupa fizikal dan amalan masih dominan.
Sebagai sebuah parti politik baru dalam arena politik tanahair, AMANAH perlu membina kekuatannya yang tersendiri berasaskan realiti sedia ada dan membawa rakyat yang mendukung nilai-nilai utama kenegaraan dan masyarakat yang baik seperti yang diungkapkan dalam slogan “pemerintahan baik” (good governance).
AMANAH juga sedang bergelut dengan masalah imej sedikit sebanyaknya. Ini disebabkan mesejnya masih belum dapat diterjemahkan dalam bahasa mudah untuk golongan massa supaya mereka boleh melihat identitinya sebagai sebuah parti masa depan berasaskan Islam yang progresif dan inklusif serta mendukung niali-nilai demokrasi.
Seringkali ucapan-ucapan pemimimpin AMANAH yang menyentuh topik “rahmatan lil alamin” atau “maqasid syariah” tidak dapat dihayati oleh golongan massa; ia lebih menjadi bahan bagi masyarakat terpelajar atau golongan elit. AMANAH semestinya mengorientasikan parti ke arah penyampaian yang efektif di mana mesejnya difahami dan diterima rakyat terbanyak.
Menjelang konvensyen AMANAH yang akan diadakan tidak lama lagi, seeloknya barisan kepimpinan dan ahli strategis parti memberi fokus kepada masa depan parti ini yang kini sudah tidak lagi menjadi komponen dalam pemerintahan kerajaan Pusat.
Mereka seharusnya dapat kemukakan rangka besar bagaimana mesej perjuangan parti dapat disampaikan kepada sebanyak mungkin rakyat, agar masa depan parti ini lebih terjamin.
Berita penuh : https://malaysiadateline.com/imej-mesej-dalam-melihat-hala-tuju-amanah/