Ibu tunggal rugi hampir RM80,000 dikelentong kenalan Facebook

Ibu tunggal rugi hampir RM80,000 dikelentong kenalan Facebook

Seorang ibu tunggal kerugian RM78,214, selepas terpedaya dengan janji seorang lelaki yang dikenalinya menerusi Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supt E Sundra Rajan, berkata mangsa berusia 49 tahun berasal dari Alor Gajah itu berkenalan dengan seorang lelaki pada 28 Mei lepas.

Katanya, sebagai tanda perkenalan suspek telah menyatakan hasratnya mahu menghantar bungkusan barang kemas, dan pada hari yang sama wanita itu telah menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dari sebuah syarikat.

“Suspek menyatakan bungkusan daripada kenalannya itu telah sampai, dan mangsa diminta untuk membuat bayaran bagi menuntut bungkusan tersebut.

“Mangsa tanpa berasa curiga telah membuat bayaran secara berperingkat pada 28 Mei hingga 8 Jun berjumlah RM78,214 ke dalam tiga akaun bank berbeza, atas pelbagai alasan seperti bayaran cukai kastam,” katanya menerusi kenyataan media di Melaka hari ini.

Bagaimanapun suspek masih meminta wang daripada mangsa walaupun selepas pembayaran dibuat dan wanita itu tidak lagi mengikut arahan, kerana menyedari dirinya ditipu untuk mendapatkan bungkusan tidak wujud.

Katanya mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah pada 9 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

– Bernama

COMMENTS