Ibu muda lumpuh separuh badan kini jadi model berjaya

Ibu muda lumpuh separuh badan kini jadi model berjaya

Seorang ibu muda yang lumpuh separuh badan sejak berusia 15 tahun di Rusia kini mencipta nama sebagai model berjaya.

Olga Gomboeva, 38, tidak pernah membiarkan kekurangan itu mematahkan semangatnya malah dia belajar mencintai diri sendiri.

Pada 1998, wanita kelahiran Schelkovo itu mengalami strok yang menyebabkan dia tidak boleh berjalan, lapor portal berita Mirror UK.

Olga kemudian menjalani pembedahan dan menggunakan alatan untuk membantunya bergerak yang dihasilkan ayahnya sendiri.

Biarpun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda, ia tidak menyekat minatnya untuk menceburi bidang peragaan.

Pada tahun 2019, beberapa foto Olga menarik perhatian penganjur sebuah acara peragaan.

“Penganjur tersebut ternampak foto saya dan mengajak saya untuk menghadiri acara peragaan.

“Saya juga telah mengambil bahagian dalam pertandingan pereka fesyen antarabangsa Moscow dan juga menang tempat ketiga dalam pertandingan kecantikan bagi wanita yang menggunakan kerusi roda,” katanya.

Penglibatan dalam dunia peragaan membuatkan Olga berasa cantik dan yakin semula.

Dengan berkongsi kisahnya, Olga berharap agar ia dapat menjadi pendorong buat individu lain supaya tidak memandang rendah terhadap orang kelainan upaya.

“Terdapat banyak stereotaip terhadap individu berkerusi roda seperti mereka tidak cantik, mereka tidak boleh berjaya atau mempunyai pasangan atau bahagia seperti orang normal dan ia sangat tidak adil.

“Kita tidak seharusnya menilai orang hanya dari luaran,” jelasnnya. -Agensi