Ibu mengamuk anak berkahwin dengan penganggur tanpa izin

Ibu mengamuk anak berkahwin dengan penganggur tanpa izin

Ibu mengamuk anak berkahwin dengan penganggur tanpa izin. Seorang wanita di Indonesia menjadi tular di media sosial selepas aksinya yang mengamuk selepas anaknya berkahwin dengan seorang penganggur tanpa keizinannya dirakam orang ramai, lapor portal Viva semalam.

Menerusi rakaman video tersebut, wanita berkenaan mengamuk di luar acara pernikahan anaknya dengan lelaki itu kerana dia tidak dibenarkan menghadiri majlis tersebut.

Wanita itu turut berasa marah kerana anaknya berkahwin tanpa pengetahuannya.

“Saya seorang diri membesarkan anak, senang-senang sahaja dia diambil oleh lelaki yang tidak bekerja. Lelaki penganggur mengambil anak saya,” kata wanita itu sambil menjerit.

Beberapa orang lelaki berkemeja corak batik yang dipercayai tetamu majlis tersebut dilihat menghalang wanita berkenaan daripada mendekati acara itu selain dia diminta meninggalkan lokasi tersebut.

“Seorang ibu yang menangggung pendidikan anaknya (sehingga belajar di peringkat tinggi), namun anaknya berkahwin dengan lelaki pengganggur tanpa pengetahuan ibunya. Ketika ingin bertemu anaknya, dia tidak dibenarkan masuk oleh keluarga pengantin lelaki,” demikian menurut keterangan video tersebut.

Tiada sebarang maklumat lanjut mengenai lokasi kejadian atau komen daripada pihak yang terlibat setakat ini.