Hospital, pusat kuarantin kini sesak

Hospital, pusat kuarantin kini sesak

Situasi hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang dikendalikan Kementerian Kesihatan tidak dapat lagi menampung pertambahan kes positif setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, atas keperluan itu, pihaknya mempertimbang pelaksanaan kuarantin di rumah, asrama pekerja atau hotel terpilih bagi kes-kes yang tidak bergejala atau tidak berisiko.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan kuarantin selain di fasiliti kesihatan itu perlu memenuhi syarat-syarat ditetapkan dan berdasarkan penilaian awal yang dijalankan oleh petugas kesihatan Covid-19 Assessment Centre (CAC) seperti melihat kesesuaian tempat itu bagi membantu Kementerian Kesihatan mengurangkan jumlah kes di PKRC dan hospital.

“Bagi kes-kes tahap satu dan dua, ketika dalam gelombang kedua pandemik, mereka boleh lagi ditempatkan di PKRC atau hospital, tetapi kerana kesesakan, maka pada masa ini kita menempatkan kuarantin di rumah untuk tempoh 10 hari sekali gus membantu kementerian mengurangkan kesesakan di PKRC dan hospital.

“Kita masih lagi perkemaskan bagaimana boleh membantu individu di rumah disyorkan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk memantau kes secara harian terutama mereka berisiko rendah dan tidak bergejala,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, pertambahan kes di hospital bagi kategori tahap 3, 4 dan 5 sekarang ini telah meningkat 15-20 peratus berbanding hanya 2 atau 3 peratus pada gelombang kedua.

Sebagai contoh, katanya, sekiranya 3,000 kes dikesan, maka 600 pesakit dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata, kes-kes di unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat selain peningkatan kes-kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Mereka yang ditempatkan di PKRC adalah tahap satu dan dua yang berisiko. Bagi mereka yang tidak berisiko dan tidak bergejala yang diasingkan di rumah perlu mengamalkan penjarakan sosial supaya tidak menjangkiti ahli keluarga lain, kerap cuci tangan dan tidak membenarkan pelawat datang ke rumah.

“Pengasingan di rumah ini diamalkan di negara-negara lain seperti di United Kingdom kerana tidak mampu menempatkan semua kes di hospital dan PKRC,” katanya.

Berhubung kes jangkitan di hospital oleh seorang individu yang mendapatkan rawatan bagi penyakit lain, beliau berkata, kes berkenaan sedang disiasat.

Bagaimanapun, beliau berkata, atas sebab itu sebarang pelawat tidak dibenarkan datang ke hospital kerana risiko jangkitan adalah tinggi dan boleh berlaku kerana hospital bukan Covid-19 juga sudah menerima pesakit Covid-19.

“Jadi kita minta jauhi hospital kerana kes boleh berlaku dalam kalangan petugas kesihatan atau antara pesakit dan petugas,” katanya.

Sumber : https://www.utusan.com.my/covid-19/2021/01/hospital-pusat-kuarantin-sesak/