Henti aktiviti yang mengugat sumber air di Wilayah Utara

Henti aktiviti yang mengugat sumber air di Wilayah Utara

KERAJAAN NEGERI KEDAH HENTIKAN AKTIVITI-AKTIVITI YANG BOLEH MENGUGAT SUMBER BEKALAN AIR WILAYAH UTARA

Pemuda AMANAH Kedah & Pemuda AMANAH Pulau Pinang menempelak keangkuhan Menteri Besar Kedah, YAB Muhammad Sanusi Md Nor yang berhasrat meneruskan aktiviti-aktiviti yang boleh mencemarkan alam sekitar terutamanya Sungai Muda.

Pengumuman oleh YAB Menteri Besar Kedah yang dilaporkan oleh New Straits Times (NST) pada 3 Disember 2020, bahawa sebuah syarikat tempatan yang berpusat di Kuala Lumpur telah diberikan kelulusan untuk meneroka dan mengekstrak unsur nadir bumi (REE) di Kedah telah menimbulkan kerisauan dan kegusaran Pemuda AMANAH, memandangkan Ulu Muda merupakan kawasan tadahan hujan dan juga merupakan sumber air Sungai Muda.

‘Track record’ kerajaan negeri PAS dalam aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah sangat mendukacitakan. Pembalakan yang tidak terkawal di Kedah dan juga Kelantan merupakan testimoni betapa hipokritnya pimpinan PAS yang tidak memegang pada prinsip Maqasid Syariah dalam mengurus tadbir.

Demi kemaslahatan rakyat wilayah utara terutamanya penduduk negeri Kedah & Pulau Pinang, Pemuda AMANAH menyeru agar YAB Menteri Besar Kedah segera menghentikan kelulusan mengekstrak REE di Ulu Muda.

Pemuda AMANAH ingin mengingatkan YAB Menteri Besar Kedah agar bertanggungjawab dengan kuasa yang diberikan dan jagalah khazanah alam sekitar bagi rakyat dan generasi akan datang.

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki Amalan nya.” (Surah al-A’raaf 7:56)

Amanah, Progresif, Peduli

MOHD RIDZWAN ARSHAD AHMAD
Ketua
Pemuda AMANAH Kedah

MUHAMAD KHAIRUL MOHD ALI
Ketua
Pemuda AMANAH Pulau Pinang