Hasrat tawan Selangor terkubur jika tidak bergabung

Hasrat tawan Selangor terkubur jika tidak bergabung

SHAH ALAM: Langkah UMNO Selangor mahu mengetepikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), malah sedia bertembung dengan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 hanya akan mengakibatkan hasrat untuk menawan semula negeri itu semakin sukar.

Menurut sumber, sekiranya UMNO Selangor berkeras untuk tidak memberikan ‘peluang’ kepada Bersatu, kesan yang perlu ditanggung ialah parti itu tidak akan dapat kuasa politik dan berada di takuk lama.

“Setakat ini, undi yang diperoleh Perikatan Harapan (PH) agak kuat kerana mereka mempunyai pengundi tersendiri. Sekiranya, Muafakat Nasional (MN) tidak memberi jalan kepada Bersatu, maka akan terjadi pertembungan tiga penjuru.

“Sekalipun pengundi menolak PH kemungkinan mereka akan menyokong PN. ini sekaligus mengakibatkan MN hilang pengundi dan menyebabkan mereka hilang kuasa untuk menawan semula Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar menyatakan pendirian bahawa parti itubersedia bertembung dengan Bersatu dalam PRU-15.

Beliau memaklumkan bahawa UMNO bersama Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) di Selangor telah selesai melakukan pembahagian kerusi.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu memberitahu, UMNO bersedia menentang Bersatu jika berlaku pertembungan sementara bagi Pas pula, beliau menyerahkan sepenuhnya parti itu membuat keputusan sama ada bertanding atau memberikan kerusi kepada Bersatu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, MN kena berpakat dengan Bersatu untuk merampas Selangor daripada PH.

Menurutnya, Selangor merupakan negeri terkaya dan mempunyai pengaruh politik yang tersendiri dan dijadikan ‘rujukan’ untuk mempengaruhi negeri-negeri lain.

“Bersatu juga boleh duduk berbincang dengan MN kerana kedudukan mereka di Selangor juga rumit kerana tiada kerusi kukuh melainkan mendapatkannya daripada UMNO dan Pas,” katanya. -UTUSAN ONLINE