Hasrat sertai PH, MUDA berdepan jalan berliku

Hasrat sertai PH, MUDA berdepan jalan berliku

Hasrat sertai PH, MUDA berdepan jalan berliku.  Pakatan Harapan (PH) akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dan menilai kedudukan Muda yang berhasrat menyertai gabungan parti itu dalam waktu terdekat.

Naib pengerusinya, Salahuddin Ayub, berkata rundingan itu sebagai langkah penglibatan dengan Muda selain menjelaskan parameter yang harus dimaklumkan kepada parti yang berhasrat untuk menyertai PH.

Salahuddin, yang juga timbalan presiden Amanah, berkata penubuhan jawatankuasa tersebut telah dimaklumkan oleh pengerusi PH, Anwar Ibrahim, semalam.

Mana-mana parti yang berhasrat sertai Pakatan Harapan perlu mengikuti beberapa syarat atau dengan ertikata yang mudah berdepan jalan yang berliku. Demi mandat yang diberi oleh rakyat, PH akan terus berusaha menjadi sebuah pakatan yang terbaik.

“Ada ada langkah yang perlu diikuti. PH terbuka dan boleh terima semua permohonan (sertai PH) tetapi ada beberapa tindakan yang harus dilalui dulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Wanita Amanah Nasional 2022, di sini, semalam.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan, berkata parti itu bersetuju menyertai PH sebagai antara parti komponen dalam gabungan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) selain terbuka mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH.

Dalam pada itu, Salahuddin, berkata 70% daripada 52 kerusi yang ditandingi Bersatu pada PRU14 telah selesai dirunding antara parti gabungan PH dan rundingan semua kerusi itu dijangka diselesaikan sebelum 30 Sept ini.

Katanya, parti itu akan menyelesaikan soal calon yang akan bertanding pada PRU15 selewat-lewatnya pertengahan Oktober dan ketika ini 70% telah ditentukan dengan mengambil kira kriteria tertentu termasuk penglibatan dalam parti, komitmen dan kelayakan.

“Mengenai calon wanita pula, saya ada sebut sebelum ini Amanah sasarkan 40 hingga 45 kerusi bagi PRU15 dengan ambil kira kekuatan kita dan Wanita, Pemuda tetap ada kerusi tapi jumlah itu belum dapat dimaklumkan kerana kami masih dalam proses menilai calon,” katanya.