Hasil dari desak PH, Lapan pegawai ditambah bagi kurangkan kesesakan di STM

Hasil dari desak PH, Lapan pegawai ditambah bagi kurangkan kesesakan di STM

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan menambah lapan pegawai lagi sebagai langkah menyelesaikan isu kesesakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di Singapura susulan kesukaran memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) di negara itu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan JKDM dalam menempatkan lapan pegawai di STM bermula minggu hadapan.

“Penempatan itu bagi membantu melancarkan proses dokumentasi pasport di Singapura.

“Setakat ini, kita sudah ada lima petugas di sana dan akan datang kita tambah lapan lagi pegawai JKDM di situ,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada Op Imigresen di Jalan Imbi, awal pagi hari ini.

Terdahulu, berlaku kesesakan di STM di Singapura yang didakwa berpunca daripada gangguan sistem dan kerosakan pada satu daripada mesin pencetak pasport dan didorong oleh jumlah permohonan memperbaharui PMA yang meningkat secara mendadak.

Kesesakan itu juga disebabkan pemohon yang datang secara ‘walk-in’ tanpa membuat janji temu melalui Sistem Temujanji Online (STO), selain pintu sempadan yang masih ditutup, mengakibatkan rakyat Malaysia sukar memperbaharui pasport mereka di Johor Bahru atau cawangan Jabatan Imigresen lain seperti kebiasaan.

Mengulas perkara itu lagi, beliau mengakui, isu tersebut telah berlarutan sejak Oktober tahun lalu dan tindakan sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Kita sudah nasihatkan mereka untuk membuat permohonan secara dalam talian tetapi mereka tetap datang secara ‘walk-in’, kita beri keutamaan kepada mereka yang perlu memperbaharui pasport untuk tujuan memperbaharui permit kerja kerana mereka tidak boleh keluar.

“Bagi mereka yang ada masa itu, kita mintak mereka mohon secara dalam talian dan akan diproses dalam pejabat JIM di Johor. Jangkaan dalam tempoh empat atau lima minggu kita akan keluarkan pasport,” ujarnya. – K! ONLINE