Hari pertama kali ini berbeza

Hari pertama kali ini berbeza

Hari pertama sesi persekolahan tahun ini nyata berbeza berbanding sebelum ini apabila hanya pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kembali ke sekolah.

Suasana melihat keterujaan murid dan pelajar menyarung pakaian seragam serba baharu dan melangkah bergaya ke sekolah juga tidak berlaku susulan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Malah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan hanya calon SPM dan STPM 2020 kembali ke sekolah manakala pelajar lain meneruskan sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Seorang bapa, Fadli Che Yem, 41, berkata dia berada dalam dilema apabila terpaksa merelakan anak sulungnya, Nur Alya Izzati, 17, ke sekolah, semalam ketika kes Covid-19 masih mencecah empat angka.

“Hanya doa yang saya dapat panjatkan supaya anak selamat dan dijauhi daripada wabak ini.

“Tiada sebarang persiapan untuk Nur Alya, hanya memakai pakaian seragam tahun lalu, tetapi saya lebih mengutamakan membeli pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di beberapa sekolah di ibu negara pula mendapati keterujaan wajah calon SPM untuk memulakan sesi persekolahan selepas tertangguh berbulan-bulan akibat pandemik itu.

Bagaimanapun, media tidak dibenarkan menemu bual guru dan pelajar sebagai prosedur operasi standard (SOP) KPM bagi menangani penularan jangkitan.

Dalam tinjauan, kebanyakan pelajar tiba seawal jam 7 pagi dan memulakan perhimpunan pagi seperti biasa sebelum dibenarkan memasuki kelas masing-masing.

Sebelum memasuki kawasan sekolah, pelajar dikehendaki menjalani pemeriksaan suhu badan dan direkod kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera atau sistem yang dibangunkan sendiri oleh sekolah masing-masing.

Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Onn, Jalan San Peng, di sini mendapati semua pelajar sudah berada di sekolah sekitar jam 7.30 pagi dan memasuki kelas masing-masing 30 minit kemudian.

Seorang guru enggan dikenali memaklumkan, semua calon SPM teruja memulakan sesi persekolahan tahun ini.

Sementara itu, sebuah sekolah menengah di Cheras memaklumkan pihaknya merekodkan 100 peratus kehadiran calon SPM, semalam.

“Kami mengambil inisiatif dengan menghebahkan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini (semalam) melalui kumpulan WhatsApp.

“Alhamdulillah, semua pelajar hadir dan teruja untuk memulakan sesi persekolahan dengan pematuhan SOP yang tinggi,” kata jurucakap sekolah berkenaan.

Pegawai perhubungan khas pantau pematuhan SOP di sekolah menengah

Seramai 66 pegawai perhubungan sekolah akan memantau 33 sekolah menengah di daerah ini dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pelajar tingkatan lima dan enam yang bakal menduduki peperiksaan penting dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pegawai perhubungan khas itu terdiri daripada anggota dan pegawai polis yang dilantik serta ditugaskan memantau SOP di luar sekolah dan meninjau di dalam kelas.

“Susulan pembukaan sekolah untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), polis daerah ini mengambil inisiatif dengan mewujudkan pegawai perhubungan khas.

“Pegawai yang dilantik akan melakukan pemantauan di 32 sekolah bantuan kerajaan dan sebuah sekolah persendirian membabitkan seramai 9,892 pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting,” katanya selepas mengadakan pemantauan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Chung Ling, di sini, semalam.

Jelasnya, pegawai perhubungan daerah itu turun ke setiap sekolah bagi menyambut kedatangan pelajar yang memulakan sesi persekolahan, semalam.

“Pembukaan sekolah di daerah ini membabitkan pelajar tingkatan lima tahun 2020 dan 2021 serta tingkatan enam bawah dan atas yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/01/666432/hari-pertama-kali-ini-berbeza