Harga sayur naik hingga 200%, kerajaan digesa segera bertindak

Harga sayur naik hingga 200%, kerajaan digesa segera bertindak

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah segera bagi menangani masalah harga sayur yang meningkat hingga 200 peratus sejak dua minggu lepas.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata pemantauan CAP mendapati harga beberapa jenis sayur yang dijual di pasar naik dan peniaga memaklumkan mereka diberitahu oleh pengedar serta pemborong bahawa kemungkinan harga sayur-sayuran akan terus meningkat.

“Pemantauan kami mendapati harga lapan jenis sayuran semakin naik sejak dua minggu lepas iaitu kubis bunga, sawi pendek, brokoli, sawi, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata harga bagi sawi pendek meningkat hingga 200 peratus iaitu daripada RM3 sekilogram kepada RM9 manakala kubis bunga pula RM7 sekilogram dan kini menjadi RM16 sekilogram.

“Selain itu, bagi sekilogram sayuran lain juga naik mendadak iaitu brokoli yang meningkat sebanyak 150 peratus daripada RM8 kepada RM20, sawi daripada RM5 kepada RM8 (60 peratus), kacang buncis daripada RM8 kepada RM15 (88 peratus), kubis daripada RM4 kepada RM6 (50 peratus), cili merah daripada RM13 kepada RM19 (46 peratus) dan cili hijau daripada RM10 kepada RM14 (40 peratus),” katanya.

Mohideen berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap peniaga atau pemborong yang melanggar undang-undang kerana kenaikan harga sayur-sayuran itu memberi impak yang besar kepada golongan berpendapatan rendah.

“Peniaga mendakwa bahawa sayur-sayuran lain juga akan naik dalam minggu hadapan dan perkara ini amat membimbangkan, jadi kami harap Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP menyiasat kenaikan harga tersebut sama ada terdapat pihak yang sengaja menaikkan harga,” katanya.

– Bernama

COMMENTS