Harap kebenaran rentas negeri dan daerah lonjak semula perniagaan

Harap kebenaran rentas negeri dan daerah lonjak semula perniagaan

Kuala Lumpur: “Saya berharap kawasan perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) kembali rancak seperti sebelumnya dan kebenaran rentas negeri dan daerah ini dapat memberi sinar baharu kepada semua peniaga,” kata peniaga borong kelengkapan Muslimah, Abdul Rahim Ismail, 61.

Abdul Rahim antara pemilik perniagaan terjejas akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP) di sekitar Jalan TAR dan Masjid India.

Dia yang bersetuju dengan pengumuman kerajaan itu juga berharap supaya pelanggan dari luar daerah dapat berkunjung membeli-belah semula ke kawasan terbabit yang sebelum ini menjadi lokasi tarikan pelancong dalam dan luar negeri.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Jalan TAR dan Masjid India hari ini menunjukkan pusat perniagaan itu masih lengang walaupun kebenaran rentas negeri dan daerah bermula hari ini.

Namun, rata-rata kedai banyak dibuka berbanding tempoh PKP bersyarat diumumkan Oktober lalu.

Bagi pemborong kain, Ahmad Syamil Abdul Razak, 30 berkata momentum jualannya masih perlahan dan sejak PKP dilaksanakan perniagaan dijalankan sejak 15 tahun itu merosot lebih 90 peratus.

“Saya berharap selepas kebenaran rentas negeri, mampu menarik semula pelanggan untuk datang ke sini. Malah, saya akui sejak PKPB diumumkan Oktober lalu, dalam tempoh seminggu itu jualan saya turun hampir 97 peratus.

“Pelanggan tetap yang berada di luar kawasan ini juga terhalang untuk datang mendapatkan bekalan produk mereka akibat PKPB.

“Kebanyakan pelanggan di Jalan TAR ini bukan orang setempat tetapi ramai dari luar daerah,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, pembantu kedai, Dewi Darwin, 41 juga berharap supaya pengumuman kebenaran itu memulihkan semula perniagaan majikannya.

“Saya lihat kawasan Jalan TAR ini sunyi sejak PKP dan rata-rata peniaga di sini terjejas akibat pengurangan ketara pelanggan yang berkunjung.

“Semoga selepas ini semua perniagaan dapat pulih seperti sedia kala,” katanya.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kebenaran pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara kecuali di kawasan yang dikenakan PKPD mulai hari ini.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/650624/harap-kebenaran-rentas-negeri-dan-daerah-lonjak-semula-perniagaan