Hanya klausa PRU15 tamat, MoU masih sah, perlu dilaksanakan, kata Anwar

Hanya klausa PRU15 tamat, MoU masih sah, perlu dilaksanakan, kata Anwar

Perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kekal berkuat kuasa selepas 31 Julai, kata Anwar Ibrahim.

Pengerusi PH itu berkata, ini kerana hanya klausa larangan pembubaran Dewan Rakyat sebelum 31 Julai untuk pilihan raya umum (PRU15) akan tamat secara automatik.

Tambahnya, MoU itu sebaliknya, masih ada dengan beberapa bahagian lain dalam perjanjian itu masih belum dipenuhi.

“Yang belum (selesai) ia soal pentadbiran, soal penyelewengan dan rasuah ini memang satu hal perlu diketengahkan kerana ia menjadi seolah-olah kegiatan harian. Ada saja terbongkar mengenai wang rakyat yang tidak diuruskan dengan baik,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis di kawasannya di Port Dickson.

Anwar berkata PH juga tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan isu kenaikan harga barang.

“Kita masih belum berpuas hati tentang urusan mengawal harga barang, kos sara hidup yang sangat menekan rakyat padahal menteri-menteri masih dengan cara mereka, dengan belanja dalam jumlah yang besar.”

Ditanya sama ada PH bersedia untuk PRU15 sekarang selepas Ismail bebas untuk menggesa ia diadakan, presiden PKR itu berkata, mereka bersedia dengan jentera yang akan bertindak sekiranya Parlimen dibubarkan.

“Kalau ada pilihan raya, saya baru bincang dengan menteri besar Negeri Sembilan, kita siap sedia tetapi keutamaan dia adalah ekonomi sekarang.

“Tanggungjawab kerajaan ialah mengendali urusan ekonomi dengan baik supaya dapat meringankan beban rakyat.”