Hangat !!! Lebih baik bertanding tiga penjuru, kata ketua Umno Mersing

MERSING, 13 DIS: Umno Bahagian Mersing, membuat ketetapan bahawa bahagian itu akan meletakkan calon di kawasan yang dimenanginya dalam pilihanraya umum (PRU) ke-14 yang lalu.
Ketua Umno Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof berkata, bahagian itu telah membuat ketetapan semenjak wakil rakyat dari parti itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas PRU-14.
“Daripada pandangan saya orang Mersing, mungkin berbeza daripada pandangan Ketua Bahagian tempat lain.
Jika berlaku PRU dalam masa terdekat ini, lebih (baik) bertanding tiga penjuru antara BN, PN dan PH, kerana BN telah punyai rekod mentadbir negara dan negeri jauh lebih baik daripada Perikata Nasional (PN) dan juga Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam catatan di laman Facebook.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin bahawa tindakan lompat parti Bbukan pengkhianatan.
Hamzah dilaporkan berkata, gelaran pengkhianat atau duri dalam daging kepada mana-mana parti politik di negara ini tidak patut diberikan selepas pembentukan kerajaan PN.
Untuk rekod, Adun Endau, Alwiyah Talib dan ahli parlimen Mersing, Dr Abdul Latiff Ahmad menyertai Bersatu pada 2018 yang ketika itu berada dalam gabungan PH.
Dalam pada itu Mohd Youzaimi menambah bahawa lompat parti adalah tindakan tidak berprinsip dan tidak berintegriti.
“Masa bertanding mereka ini bukan sahaja menggunakan lambang Umno dan Barisan Nasional untuk menang, tetapi mereka juga menggunakan seluruh jentera akar umbi Umno BN untuk memastikan mereka dapat jawatan ahli parlimen atau Adun yang mereka tandingi.
Seluruh jentera ini sudah pasti siang dan malam bekerja, menggunakan keringat masing-masing bagi memastikan calon parti yang mereka sokong ini menang, tetapi bila dah menang akhirnya mereka semua tertipu,” ujarnya.
Mohd Youzaimi turut menegaskan tidak timbul soal sama ada Umno perlu memberi laluan kepada mereka yang melompat.
“Ini kerana mereka itu semua bukan lagi dalam Umno… sudah jauh daripada perjuangan sebenarnya.
Biarlah parti mereka Bersatu sahaja yang menentukan hala tuju mereka masing-masing,” ujarnya lanjut.