Hangat !!! Ke mana pergi hasil kayu balak yang ditebang selama ini – YB Khairuddin

Hangat !!! Ke mana pergi hasil kayu balak yang ditebang selama ini – YB Khairuddin

Dalam suasana keluh kesah rakyat ketika ini, Senggarang dikejutkan dengan suatu fakta yang terdapat dalam buku belanjawan 2021 yang dirasakan bertentangan dengan apa yang kita percayai selama ini.

Semua rakyat beranggapan sumber pendapatan negeri Johor ini ditampung sebahagian besarnya melalui hasil-hasil bumi seperti kayu balak, pasir, batu-batan dan lain-lain mineral. Hakikat sebenar yang berlaku sekarang tidak seperti yang kita tanggapi.

Setelah Senggarang membuat semakan buku belanjawan 2021, Senggarang mendapati belanja emolumen dan penyelenggaraan Jabatan Perhutanan Negeri Johor lebih RM 17 juta sementara kutipan cukai hasil balak hanya sekitar RM7 juta.

Mengikut semakan laman web Jabatan Perhutanan negeri Johor hasil hutan 2008 adalah 26 juta. Dengan perkataan lain, Jabatan Perhutanan Negeri Johor bukan lagi sebagai penyumbang hasil kepada kerajaan negeri, sebaliknya ia menjadi liabiliti atau bebanan kepada rakyat negeri ini yang terpaksa menampung RM10 juta untuk biaya pengurusan.

Jadi ke mana pergi hasil-hasil kayu balak yang ditebang selama ini?
Senggarang telah membuat komentar sebelum ini di mana berlaku ketirisan dalam keseluruhan proses pengeluaran hasil hutan iaitu bermula dengan proses pengurniaan sesuatu kawasan pembalakan, pengeluaran lesen pembalakan, mengukur persempadanan, penebangan kayu, pembayaran cukai dan sebagainya.

Pengurniaan kawasan pembalakan hanya terhad kepada golongan tertentu sahaja dan tidak dilakukan secara tender terbuka. Sebagai contoh di atas nama bumiputera, kerajaan memperuntukan skim kurniaan kuota kepada kilang papan bumiputera di mana bumiputera yang memiliki kilang-kilang tersebut hanyalah penama sahaja dan hanya mengambil dalal sedangkan semua operasi dilakukan oleh bukan bumiputera.

Pengurniaan kawasan pembalakan kepada pihak tertentu atas tiket bumiputera juga menjadi persoalan. Mereka yang mendapat konsesi akan menjual kawasan pembalakan mereka kepada pihak lain yang kebanyakannya bukan bumiputera, itu pun bukan bumiputera terpilih yang mempunyai hubungan dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

 

Pengurniaan kawasan dan operasi penebangan hutan juga dilakukan dengan tidak berperaturan. Menurut maklumat yang Senggarang perolehi, berlaku kes-kes tolak ansur yang merugikan pihak kerajaan, sempadan boleh dilaras ke kawasan yang lebih padat kandungan kayunya dan sebagainya. Pembalak bukan sahaja menebang pokok yang bertanda tetapi pokok-pokok lain juga habis ditebang tidak mengikut Sistem Pengurusan Memilih (SMS) selaras dengan konsep Pengurusan Hutan Secara Berkekalan. Ada kes-kes tertentu dimana perdu atau pangkal pokok tak bertanda tersebut ditimbus setelah ditebang bagi menghilangkan bukti. Rekod penebangan penuh dengan penipuan.

Semasa mengukur kayu balak untuk pembayaran cukai, pegawai cukai hanya mencatatkan saiz-saiz kayu kecil atau disebut sebagai kayu jaras bagi mengantikan kayu bersaiz besar dalam borang-borang percukaian sehingga dikatakan pembalak-pembalak tersebut hanya membayar kurang 20% dari jumlah cukai sebenar yang sepatutnya dibayar dalam setiap muatan lori pengangkut kayu balak. Terdapat banyak kes-kes di mana pembalak langsung tidak membayar cukai atau dalam istilah “cukai terbang”.

Ada sesetengah pengusaha yang berkesedaran telah melakukan penangkapan ke atas lori-lori balak yang membawa muatan tidak bercukai, begitu juga tangkapan kepada kilang-kilang papan yang membeli kayu-kayu tidak bercukai tetapi berakhir dengan tindakan ala kadar sahaja dan kes ditutup.

Senggarang sendiri telah membuat aduan kepada SPRM, tetapi tiada tindakan, malah seolah-olah ada kesefahaman di antara mereka sehingga aduan tersebut sepi berlalu begitu sahaja.

YB Khairuddin Abdul Rahim
Adun Senggarang

 

Petikan Ucapan Belanjawan Johor 2021