Hangat !!! JASA sebuah langkah terdesak kerajaan PN – MP Ledang

Hangat !!! JASA sebuah langkah terdesak kerajaan PN – MP Ledang

Saya terkesan dengan jawapan daripada pihak Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengenai isu kontroversi peruntukan JASA dalam Belanjawan 2021.

Saya menganggap isi-isi jawapan yang dibentangkan oleh Menteri dalam dewan hanyalah langkah terdesak setelah dikecam oleh pelbagai pihak.

Penjenamaan semula JASA kepada J-Kom tidak menjawab persoalan sebenar yang berbangkit, apa keperluan penubuhan unit ini di kala negara dalam krisis kesihatan dan ekonomi?

Peruntukan untuk BERNAMA telah dikurangkan sebanyak RM 12 juta, RTM dikurangkan hampir RM 100 juta, Jabatan Penerangan telah dikurangkan sebanyak lebih RM 10 juta dan FINAS telah dikurangkan sebanyak RM 3 juta.

Mengapa peruntukan untuk agensi-agensi di bawah KKMM ini dikurangkan sedangkan JASA atau J-Kom diperuntukkan lebih RM 80 juta?

Meskipun Menteri menyebut bahawa peruntukan itu akan dikurangkan, namun bukankah itu menunjukkan agensi-agensi ini tidak ada keupayaan untuk melaksanakan objektif dan peranan mereka sehingga perlu diwujudkan JASA atau J-Kom?

Selain itu, sekiranya Belanjawan 2021 diluluskan dan J-Kom ini ditubuhkan, apa jaminan pihak KKMM bahawa agensi J-Kom ini tidak disalahguna sebagai agen propaganda kerajaan?

Berkenaan isu perjawatan dan lantikan bagi agensi ini, apa jaminan pihak KKMM tidak akan ada campurtangan politik?
Maka, saya menyeru agar KKMM menilai semula keperluan dan perancangan penubuhan unit ini berbanding menyahut seruan inisiatif memperkasakan agensi dan unit sedia ada agar peruntukan untuk J-Kom dapat disalurkan kepada medium yang lebih memerlukan dan kritikal seperti infrastruktur internet luar bandar atau medium pendidikan di bawah KKMM.

𝗦𝘆𝗲𝗱 𝗜𝗯𝗿𝗮𝗵𝗶𝗺 𝗦𝘆𝗲𝗱 𝗡𝗼𝗵
𝘈𝘩𝘭𝘪 𝘗𝘢𝘳𝘭𝘪𝘮𝘦𝘯 𝘓𝘦𝘥𝘢𝘯𝘨
𝘑𝘶𝘳𝘶𝘤𝘢𝘬𝘢𝘱 𝘛𝘦𝘭𝘦𝘬𝘰𝘮𝘶𝘯𝘪𝘬𝘢𝘴𝘪, 𝘋𝘪𝘨𝘪𝘵𝘢𝘭
𝘋𝘢𝘯 𝘗𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯𝘨𝘬𝘶𝘵𝘢𝘯 𝘒𝘌𝘈𝘋𝘐𝘓𝘈𝘕