Hangat !!! Jalan mudah menjana pendapatan baru kerajaan Johor (PN) – MB

Hangat !!! Jalan mudah menjana pendapatan baru kerajaan Johor (PN) – MB

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor mengenal pasti sumber baru untuk menampung kekurangan pendapatan akibat kesan penutupan sempadan antarabangsa dan penularan Covid-19.

Menteri Besarnya, Hasni Mohammad berkata, langkah pertama ialah meningkatkan bayaran untuk lesen dan denda di bawah Enakmen Air 1921, susulan penaiktarafan Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) kepada Lembaga Urus Air Johor.

“Kedua, Jabatan Perhutanan Negeri dalam perancangan meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembalakan haram serta menambah hasil daripada aktiviti rekreasi di kawasan tersebut.

“Ketiga, kerajaan negeri sedang mengkaji semula Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 bagi memastikan kutipan hasil dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Keempat, terdapat beberapa punca hasil baru yang dalam peringkat penelitian jabatan sebelum ianya diputuskan di peringkat kerajaan. Hasil tersebut dijangka dapat dikutip tahun depan dengan anggaran kutipan RM70 juta,” katanya di sidang Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.

Beliau menjawab soalan Faizul Amri Adnan (PH-Serom), Raven Kumar (BN-Tenggaroh) dan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) berkaitan usaha kerajaan menampung perbelanjaan yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Ahad lalu, Hasni mengumumkan Belanjawan negeri 2021 dengan unjuran defisit RM248.14 juta.

Hasni berkata, pendapatan kerajaan negeri akan berkurangan tahun depan susulan pemberian pelbagai insentif pro-rakyat seperti rebat cukai tanah dianggarkan berjumlah RM204.89 juta, pengecualian cukai hiburan (RM60 juta), pengecualian lesen penjaja dan sewa kedai di ruang niaga (RM41 juta) serta bayaran sewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) bersasar berjumlah RM15.54 juta.

Katanya, kerajaan perlu berbelanja mengikut kemampuan kerana kestabilan fiskal juga signifikan dan perlu menjadi matlamat utama kerajaan negeri.

Selain mencari sumber baru pendapatan, beliau berkata, Perbendaharaan Johor turut menyusun strategi dalam usaha meningkatkan kutipan hasil, antaranya meningkatkan kecekapan kutipan, mengelakkan ketirisan, memantapkan pemantauan serta mengoptimumkan penggunaan teknologi.

“Pada 2021, Perbendaharaan Johor akan memberi fokus mengurangkan tunggakan hasil kerana ia turut membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan hasil.”

Sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/30/naikkan-bayaran-lesen-denda-enakmen-air-hiburan-antara-sumber-baru-hasil-johor/