Hangat !!! Hotel milik k’jaan Terengganu tambah staf lagi – Ahmad Said

Hangat !!! Hotel milik k’jaan Terengganu tambah staf lagi – Ahmad Said

Selepas disindir oleh Datuk Seri Ahmad Said di DUN Terengganu bahawa Duyung Marina Resort adalah satu-satunya hotel di dunia yang menambahkan bilangan kakitangan ketika Covid-19 melanda dunia, pentadbiran hotel milik kerajaan negeri terus menyambut cabaran itu.
Pengurus Besar Duyung Marina Resort, sebuah anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Wan Faizul Abas menerusi facebooknya menulis, “Alang-alang Mad Id (Ahamd Said) sebut dalam dewan, arini kita buka jawatan kosong lagi.”

Beliau mengiklankan kekosongan jawatan Pengurus Sumber Manusia untuk hotel itu bersama dengan sahutan cabaran beliau terhadap Adun Kijal itu.

Ahmad Said, bekas MB Terengganu ketika BN memerintah negeri itu menyindir kerajaan negeri dengan mengucapkan tahniah di atas tindakan Duyung Marina Resort itu.

“Tahniah kita ucapkan kepada kerajaan negeri. Ketika semua hotel di seluruh dunia membuang pekerjanya akibat Covid – 19, Duyung Marina Resort menambah bilangan pekerjanya termasuk Ketua Eksekutif Syariah, Ustaz Zulhafiz Ahmad Zahid Zulhafiz, lahir di Sarawak tetapi tinggal di Perak, dengan dibayar gaji RM12,000 sebulan,” kata beliau.

Menurut Pengerusi UmnoTerengganu itu, tugas Zulhafiz adalah memberikan tazkirah dua kali seminggu selama setengah jam setiap kali kepada kakitangan.

Menurut beliau, yang lebih hebat lagi hotel ini, bukan sahaja di Malaysia bahkan satu-satunya hotel di dunia, ketika semua hotel mengecilkan bilangan pekerja dengan membuang pekerja mereka, tetapi Duyung Marina dapat menambah bilangan pekerjanya.

“Sebagai contoh, pada bulan Julai 2020, seramai 17 orang kakitangan baru diambil, September 2020 10 orang, Oktober 2020 dua orang, November 2020 empat orang.

“Jumlah pekerja baru Duyung Marina seramai 33 orang. Tahniah, hotel rugi teruk sangat tetapi dapat ambil 33 pekerja baru,” katanya dalam ucapan di DUN Terengganu itu.

Duyung Marina Resort adalah sebuah hotel empat bintang yang terletak di atas Pulau Duyung, sebuah pulau yang terletak di muara Sungai Terengganu.

Ia dibina oleh Datuk Seri Idris Jusoh ketika beliau menjadi MB Terengganu dengan menggunakan wang royalti petroleum yang diperolehi oleh kerajaan negeri.

 

Sumber : http://: https://malaysiadateline.com/selepas-disindir-duyung-marina-resort-tambah-lagi-kakitangan/