Hangat !!! Hasil hutan Johor ‘Umpan habis ikan tak dapat’

Hangat !!! Hasil hutan Johor ‘Umpan habis ikan tak dapat’

Ada sesetengah pengusaha yang berkesedaran telah melakukan penangkapan ke atas lori-lori balak yang membawa muatan tidak bercukai, begitu juga tangkapan kepada kilang-kilang papan yang membeli kayu-kayu tidak bercukai tetapi berakhir dengan tindakan ala kadar sahaja dan kes ditutup.

Senggarang sendiri telah membuat aduan kepada SPRM, tetapi tiada tindakan, malah seolah-olah ada kesefahaman di antara mereka sehingga aduan tersebut sepi berlalu begitu sahaja.

Senario di ataslah yang telah menyebabkan Jabatan Perhutanan Johor bukan menjadi penyumbang hasil negeri tetapi telah menjadi bebanan dengan menghisap wang pembayar cukai rakyat Johor.

Bayangkan perbelanjaan mengurus Jabatan Hutan sebanyak RM17 juta lebih sedangkan kutipan cukai yang dipungut dari hasil hutan hanya sekitar RM7 juta sahaja. Lebih RM10 juta duit rakyat dibazirkan dan berjuta-juta lagi hasii-hasil cukai hilang yang disebabkan perlakuan yang tidak bertanggung jawab mereka yang diberi amanah.

Secara ringkas Senggarang ingin mencadang beberapa pembaharuan dalam urusan hasil hutan negeri ini. Perinciannya cadangan tersebut bolehlah difikirkan oleh pihak-pihak pengurusan yang terlibat. Cadangan Senggarang adalah seperti berikut;

1. Pengurniaan kawasan balak mesti dilakukan secara tender terbuka.

2. Pembangunan Ladang Hutan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) hendaklah dihentikan.

Saya faham dengan jawapan soalan dalam dewan ini pada 10 September 2020 bahawa keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) adalah 408, 300 hektar yang meliputi lebih kurang 21% keluasan tanah negeri Johor dan peningkatan 12.3% berbanding 20 tahun dahulu iaitu seluas 358, 096 hektar pada tahun 2000.

Persoalan yang tidak dapat dijawab ialah adakah Hutan Simpan Kekal (HSK) itu termasuk ladang hutan. Kalau tidak termasuk dan Hutan Simpanan Kekal (HSK) itu seperti asal, mengapa habitat hutan seperi gajah keluar daripada hutan dan merosakkan harta benda awam dan mengakibatkan kematian.

Kerajaan turut terpaksa meletakkan peruntukan RM7 juta untuk Projek Santuari Gajah (JES) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Johor.

Senggarang bersangka baik jawapan yang cantik diatas kertas ialah rakyat tidak nampak apa yang berlaku di dalam hutan.

3. Kawasan kehidupan liar terutama habitat dan kawasan mamalia yang terdapat gajah dan lain-lain binatang, kawasan melibatkan penempatan orang asli dan kawasan tadahan air hendaklah diurus dengan ikut undang-undang dan enakmen.

4. Skim Kuota Kilang Papan Bumiputera perlu diaudit dan jika terbukti tiada bumiputera terlibat secara langsung dalam perniagaan maka dicadang dihapuskan. Bumiputera-bumiputera tersebut hanya mengambil dalal sahaja.

5. Kalau hendak libatkan bumiputera juga dalam industri pembalakan ini, hanya pembalak bumiputera yang tulen sahaja yang wajar diberi kuota merit.

6. Kerajaan bersungguh-sungguh menangani isu kecurian dalam kawasan berlesen, pencerobohan dan penerokaan haram kawasan hutan simpan kekal dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas mengikut peruntukan sedia ada.

7. Pengukuran sempadan perlu dibuat oleh Jurukur Bertauliah, bukan oleh pegawai-pegawai hutan yang rata-rata mempunyai hubungan intim dengan pembalak-pembalak. (Conflict Of Interest).

Hasil bumi seperti kayu balak, pasir, batu granit, kaolin dan lain-lain mineral adalah sumber asas hasil kepada kerajaan negeri yang perlu diurus dengan baik.

Kayu balak ini merupakan satu sumber yang boleh diperbaharui bukan seperti galian apabila dikorek diambil hasilnya, ia berkurangan. Hutan ini kalau diurus dengan baik dan jujur mengikut Undang-Undang dan Enakmen mampu memberi sumber yang bermakna kepada negeri Johor berzaman.

Kegagalan pengurusan akan mendatang padah kerana kerajaan pula terpaksa menanggung kos pengurusan seperti yang berlaku terhadap Jabatan Perhutanan Johor. Hutan pupus, muka bumi rosak, air sungai tercemar, kutipan hasilnya sedikit. Kerajaan terpaksa pula berbelanja terhadap kerosakan dan ketirisan yang dilakukan oleh pihak yang tidak amanah.

Senggarang mohon kerajaan sekarang bertindak sebelum kita menghadapi masalah yang lebih besar di masa akan datang. Pengalaman kerajaan Timor Leste sekarang ini juga boleh berlaku kepada negeri ini sekiranya ketirisan terus dibiarkan bermaharajalela.

Peribahasa
“Umpan habis ikan tak dapat” ertinya usaha yang membawa kerugian.

 

YB Khairuddin Abd Rahim
Adun Senggarang

Petikan Ucapan Belanjawan Johor 20212