Hamid serah isu campur tangan menteri pada Acryl

Hamid serah isu campur tangan menteri pada Acryl

Acryl Sani Abdullah Sani, yang secara rasmi mengambil alih tugas Ketua Polis Negara hari ini, akan berkongsi “hala tuju baharu” pasukannya dengan media dalam masa terdekat.

Katanya pada sidang media selepas majlis serah tugas KPN di Bukit Aman, Acryl yang menggantikan Abdul Hamid Bador berkata beliau akan meneruskan legasi ketua-ketua polis negara sebelumnya bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

“Ikhlas saya katakan tugas baharu ini seolah-olah satu beban berat di atas bahu saya. Namun, saya yakin dengan kepercayaan barisan pengarah, ketua polis negeri, dan ketua polis daerah, kita akan teruskan segala usaha sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Hamid pada sidang media sama, menyerahkan susulan ke atas isu campur tangan menteri dalam urusan polis – yang didedahkannya baru-baru ini – kepada Acryl dan pasukannya.

“Tidak semestinya saya perlu buat laporan seperti diminta oleh menteri,” katanya.

Hamid pada sidang media terakhirnya selaku pegawai tertinggi polis pada 30 Apr lalu, mendakwa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, “sejak awal lagi di mesyuarat pertama Suruhanjaya Pasukan Polis” mendesak untuk mendapatkan kuasa bagi menentukan penempatan pegawai polis.

Beliau juga mendakwa Hamzah di sebalik pengeluaran “surat keramat” yang menyuruh menangguhkan pertukaran pegawai yang dikaitkan dengan isu-isu tertentu. | FMT

COMMENTS