Hamid Bador dijangka lawan Mat Hasan di Rembau

Hamid Bador dijangka lawan Mat Hasan di Rembau

Gerakan Tanah Air (GTA) Bahagian Negeri Sembilan mencadangkan bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador untuk bertanding di kerusi parlimen Rembau berdepan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Timbalan Pengerusi GTA negeri Mohamad Jani Ismail dipetik Berita Harian sebagai berkata bahawa mereka telah menyerahkan nama Abdul Hamid kepada pucuk pimpinan gabungan.

Selain Abdul Hamid, bahagian negeri turut mengemukakan nama pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai calon berpotensi untuk kerusi Parlimen Port Dickson, yang kini disandang oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

“Kedua-dua nama individu berkenaan termasuk dalam senarai yang saya bawa ke peringkat pucuk pimpinan sebagai calon GTA Negeri Sembilan menerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Keputusan sama ada Abdul Hamid terpilih calon bertanding di Parlimen Rembau dan Ahmad Idham bagi kerusi parlimen Port Dickson akan ditentukan pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Abdul Hamid dilantik sebagai KPN pada 2019 semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) diterajui Dr Mahathir Mohamad, yang kini pengerusi Pejuang.

Malaysiakini telah menghantar permintaan untuk ulasan kepada Abdul Hamid mengenai perkara itu.

Menurut Mohamad Jani, keputusan untuk mencalonkan Abdul Hamid dibuat kerana GTA memerlukan seseorang yang mempunyai populariti untuk bertanding di Rembau, lebih-lebih lagi calon itu akan berdepan Mohamad.

Untuk rekod, Mohamad pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan.