‘Hadi mungkin dah jadi PM jika PAS kekal bersama Pakatan’

‘Hadi mungkin dah jadi PM jika PAS kekal bersama Pakatan’

Seandainya PAS kekal bersahabat dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) yang terbina lebih lama dulu, kata Pengerusi Amanah Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi, banyak faedah yang diperolehi parti berkenaan.

Phahrolrazi Mohd Zawawi

“Malah, kalau PAS masih dalam Pakatan, mungkin Abdul Hadi Awang sudah jadi perdana menteri,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya di Alor Setar, baru-baru ini.

Diminta mengimbau kembali detik-detik PAS menarik diri daripada Pakatan pada 2015, Adun Alor Mengkudu itu berpendapat, perkara berkenaan pada dasarnya berlaku kerana pembawaan pemikiran pemimpin parti terbabit.

Kata Phahrolrazi usaha musuh politik Pakatan untuk melihat gabungan pembangkang berpecah bermula sejak sekian lama iaitu ketika PAS diketuai Allahyarham Fadzil Noor dan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun, katanya, usaha tersebut gagal.

Dia yang pernah menjadi pemimpin kanan PAS menegaskan pemimpin parti itu bersilih ganti sejak dahulu dan parti terbabit sentiasa nampak hebat termasuk ketika menyertai pilihan raya.

“Tapi apabila PAS bertanding, masuk pilihan raya, PAS kalah. Ceramah PAS ada berpuluh ribu orang hadir tapi PAS masih kalah.

“Mungkin PAS boleh menang di Pantai Timur, tapi di Pantai Barat PAS gagal, nak bergerak lebih hingga ke peringkat pusat lagilah rumit,” katanya.

Letak syarat bekerjasama

Keadaan itu, kata Phahrolrazi, berlaku kerana komposisi penduduk dan pengundi negara sentiasa berbeza mengikut lokaliti.

PAS, katanya, mungkin boleh mencapai kemenangan jika penduduk di seluruh negara sama seperti Kelantan, tetapi realitinya ia berbeza termasuk di negeri majoriti Melayu seperti Kedah.

Pada masa sama, katanya, realiti di negara ini menunjukkan sesebuah parti tidak boleh bergantung kepada satu atau dua kaum saja untuk menang, sebaliknya perlu mendapat dukungan bangsa lain, termasuk bukan Melayu.

“Kita ni masuk pilihan raya nak menang ke nak kalah? Masuk pilihan raya semata-mata nak masuk pilihan raya, sebab nak dapatkan pahala, ataupun masuk ada niat kita kena menang?” katanya.

Justeru tambah Phahrolrazi PAS ketika itu memerlukan strategi untuk bekerjasama dengan lebih padu dan meraih sokongan meluas.

“Jadi perlu pada strategi, perlu pada perubahan. Nak kerjasama dengan MCA mereka dah dengan BN, Umno. Yang masih ada ialah DAP.

“Tetapi ada syarat-syarat yang PAS letakkan untuk bekerjasama. Pertama kena terima perlembagaan, Islam agama rasmi, bahasa Melayu dan institusi raja-raja Melayu.

“Kalau itu boleh terima, dan isu keadilan biasalah, kan.

“Soal rasuah memang kami tolak, tapi hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, Islam, DAP boleh terima ke tak? Kalau boleh terima dasar perlembagaan, apa salahnya?” kata Phahrolrazi.

Umno tak berdiam diri

Hasil persefahaman dan kerjasama itu, menurutnya, memberi kesan besar apabila Pakatan mula mendapat sokongan rakyat mulai 1999.

Malah kata Phahrolrazi formula bekerjasama dengan parti lain sudah menunjukkan hasil lama sebelum Pakatan wujud iaitu apabila PAS bersama Parti Semangat 46 sehingga kerajaan Umno-BN dijatuhkan di Kelantan.

Katanya kerjasama itu berlanjutan dan mencapai kemajuan dari satu peringkat ke satu peringkat.

Umno-BN selaku musuh politik PAS, katanya, menyedari keadaan itu dan sudah tentu mereka tidak akan berdiam saja. Jika tidak bertindak, katanya, pastilah Umno-BN itu akan berkubur.

“Kalau saya sebagai Umno, adakah saya nak tengok saja Pakatan? Takkan saya nak biarkan, mesti saya akan perah otak saya cari jalan macam mana nak hancurkan Pakatan Rakyat.

“Tapi semasa adanya Tok Guru Nik Aziz, Ustaz Fadzil, dia orang (Umno) buat macam-macam, tak boleh pecah, sebab politik Ustaz Fadzil, dia tak marah dan dia tak terlalu ekstrem hingga label Umno sebagai kafir dan sebagainya.

“Memang politik dia begitu, serupa juga dengan Tok Guru Nik Aziz. Kalau terlampau keras, akan mudah tumbang,” katanya lagi.