Genting: tiga penempatan warga asing dipasang kawad besi, tiada PKPD

Genting: tiga penempatan warga asing dipasang kawad besi, tiada PKPD

BENTONG: Penularan kes Covid-19 di Genting Highlands di sini adalah terkawal dengan hanya melibatkan tiga kawasan penempatan yang diduduki oleh warganegara asing.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak berkata, setakat ini tiada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di situ dan pemasangan kawad besi bagi mengelak penghuni di kawasan berkenaan keluar ke kawasan penduduk tempatan.

“Itu tempat penempatan buruh asing dan jangkitan dalam kalangan mereka sahaja tidak melibatkan orang luar.

“Maknanya, orang tempatan tidak perlu risau kerana ini penempatan buruh asing ada tiga tempat, iaitu Apartment Amber Court, Apartmen Ria dan sebuah kampung,” katanya di sini hari ini.

Semalam, tular dalam media sosial tentang pemasangan kawad besi di kawasan Genting Highlands sehingga menimbulkan persoalan sama ada PKPD dilaksanakan di situ.

Pahang kini merekodkan 61 kes dengan 55 kes adalah dari daerah Bentong yang kebanyakannya melibatkan Kluster Jalan Genting.

Dalam pada itu, Sallehuddin berkata, pemasangan kawad besi tidak menjadi isu dan orang ramai tidak perlu risau.

Katanya, langkah itu dilakukan bagi mengelakkan warga asing terbabit tidak keluar seterusnya melindungi penduduk tempatan.

Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/genting-tiga-penempatan-warga-asing-dipasang-kawad-besi-tiada-pkpd/